Sorting by

×

Tokoh Maal Hijrah jadi suri tauladan buat masyarakat

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

AYER KEROH 27 Ogos – Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berharap tokoh-tokoh yang dipilih menerima Anugerah Khas Maal Hijrah 1442 Hijrah dapat dijadikan suri tauladan oleh masyarakat di negeri ini.

Katanya, melalui anugerah yang diberikan setiap tahun, ia diharap dapat menyuntik semangat untuk melihat lebih ramai modal insan terbaik dilahirkan di masa akan datang.

“Untuk tahun ini sebanyak sembilan anugerah disampaikan dan kita berharap sempena anugerah ini menjadi penyuntik dan semangat untuk melihat lebih ramai modal insan pada masa akan datang.

“InsyaAllah tahun-tahun mendatang kita akan dapat melihat, mencari dan menapis tokoh-tokoh baharu untuk diketengahkan dan dapat menjadi ‘role model’ dalam konsep kita mengingati junjungan besar Nabi Muhamad SAW selaku ‘role model’ sepanjang zaman.

“Saya berharap, kita semua bukan sahaja dapat menjadikan mereka ‘role model’, tetapi juga dapat mendalami, menghayati dan pasang niat bagaimana untuk menjadi modal insan terbaik dan maju dalam apa jua bidang yang diceburi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perhimpunan dan Penyampaian Anugerah Khas Maal Hijrah 1442 Hijrah di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), sebentar tadi.

Dalam majlis itu, bekas Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Wira Yaakub Md Amin diangkat sebagai Tokoh Utama Maal Hijrah peringkat Negeri Melaka dan menerima Anugerah Abu Bakar As-Siddiq yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam.

Pengiktirafan itu diberikan atas jasa dan usahanya selama selama lebih 20 tahun memartabatkan institusi pendidikan, agama dan kebajikan di Melaka.

Yaakub yang ditemui selepas menerima anugerah berkenaan merakamkan rasa syukur kerana terpilih menerima anugerah tersebut dan menyifatkannya sebagai antara pengiktirafan terbaik pernah diterimanya.

“Sejak dari muda saya sudah terlibat dengan pelbagai aktiviti dan kerja-kerja kemasyarakatan. Sehinggalah apabila saya menjadi wakil rakyat di DUN Tangga Batu dan Sungai Udang dari tahun 1999 hingga 2012 saya terus bergiat aktif untuk membantu rakyat dalam pelbagai aspek.

“Pada 2014 saya diberi tanggungjawab menjadi Timbalan Pengerusi MAIM dan dari situlah, saya terus menjalankan kerja-kerja kebajikan dan sentiasa turun padang untuk membantu asnaf.

“Mungkin daripada rekod-rekod tersebut saya dipilih. Saya pun tak sangka, tapi bersyukur sangat apabila diberi penghormatan seperti ini,” katanya.

Views:

368
Kongsi :
Previous post Dr. OKU terima anugerah Maal Hijrah atas perkhidmatan kepada masyarakat
Next post UTeM sasar tiga bintang EMGS dan 100 kedudukan terbaik
Ubah saiz-+=