Tumpahan minyak Tanjung Tuan didakwa sebagai insiden terbesar tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

TANJUNG TUAN 17 Okt. – Tumpahan minyak di perairan Tanjung Tuan yang turut melibatkan beberapa pantai antaranya Pantai Cermin, Port Dickson didakwa sebagai insiden tumpahan minyak terbesar tahun ini selepas insiden sama di Pulau Tioman, Pahang Jun lalu.

Pengarah Bahagian Keselamatan Sekuriti dan Alam Sekitar, Jabatan Laut Malaysia Mohd Fairoz Rozali menganggarkan kira-kira 10 tan metrik isi padu sisa minyak kini mencemari perairan Tanjung Tuan berbanding kejadian di Pahang, yang merekodkan lima tan metrik tumpahan minyak.

Kes yang didakwanya sebagai yang terbesar tahun ini, juga jauh lebih sukar untuk diatasi, memandangkan ia membabitkan kawasan pesisir pantai dan hutan paya bakau berbanding insiden sama Jun lalu di Pantai Timur yang berlaku di tengah laut.

“Perkara ini diklasifikasikan sebagai kes tumpahan yang tidak diketahui punca mengakibatkan beberapa siasatan sedang dijalankan agensi terlibat termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Berbanding insiden yang disebabkan dari kemalangan kapal dikelaskan sebagai kes tumpahan yang diketahui adalah kes yang diketahui puncanya, bagaimanapun kes kali ini memerlukan siasatan termasuk pengecaman jari (finger printing),” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini, petang tadi.

Dalam pada itu, ujarnya siasatan lanjut telah dijalankan ke atas beberapa kapal berlabuh di perairan terbabit menerusi kerjasama JAS.

“JAS akan bekerjasama bagi menjalankan siasatan dengan mengambil sampel minyak di setiap kapal terlibat.

“Pelbagai siasatan lanjut akan dilaksanakan agar dapat menjejaki sumber minyak terbabit malah dari siasatan awal pihak kami mengamati keadaan dari segi persekitaran, bau dan juga rupa bentuk sisa minyak berkemungkinan berpunca daripada aktiviti mencuci tangki minyak kapal, atau kotoran sisa minyak dihasilkan daripada kapal sendiri,” katanya.

13 Oktober lalu, perairan Tanjung Tuan bertukar hitam selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan mengesan tumpahan minyak di perairan Tanjung Tuan, Port Dickson, Negeri Sembilan kira-kira 1.3 batu nautika menghala ke Pulau Perjudi.

kesan tumpahan minyak itu turut kelihatan hingga ke Pantai Tanjung Tuan serta Teluk Kemang.

Views:

834
Kongsi :
Previous post Rauf lawat mangsa banjir
Next post Pekerja TNB maut kemalangan
Ubah saiz-+=