UiTM dan UMK meterai MOA program akademik Dwi Ijazah pertama di Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

KOTA BHARU, 13 Feb – Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) program akademik Dwi Ijazah yang menggabungkan dua program sarjana muda dari dua buah Universiti Awam (UA), yang pertama di Malaysia.

Program yang terlibat adalah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Statistik daripada Fakulti Sains Komputer dan Matematik, UiTM dan Sarjana Muda Keusahawanan (Logistik dan Perniagaan Pengedaran) dengan Kepujian daripada Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, UMK.

Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Ts Dr Roziah Mohd Janor berkata kedua-dua program itu telah memperolehi status akreditasi penuh, daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Program Akademik Dwi Ijazah dua universiti awam berbeza ini juga telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendidikan Tinggi pada 15 Mac 2019, yang bakal melahirkan graduan holistik dan berketerampilan dalam memenuhi keperluan guna tenaga di negara ini.

“Selain itu, program ini turut memberi peluang kepada graduan untuk lebih berdaya saing, berkebolehan dan mempunyai tahap kebolehpasaran yang tinggi apabila menceburi bidang pekerjaan, berbanding pelajar yang hanya mempunyai satu ijazah,” katanya selepas majlis menandatangani MoA antara kedua universiti tersebut di sini hari ini.

Pada majlis itu, UiTM diwakili Ts Dr Roziah, manakala UMK diwakili Profesor Dr Nik Maheran Nik Muhammad yang menjalankan fungsi Naib Canselor.

Dr Roziah berkata tempoh pengajian Program Akademik Dwi Ijazah adalah minima sembilan semester (4.5 tahun), dengan jumlah 179 jam kredit dan pengambilan pelajar bagi program itu melibatkan kemasukan melalui saluran kedua-dua universiti.

Sementara itu, Dr Nik Maheran berkata inisiatif ini memberi impak yang besar kepada penghasilan kebolehpasaran graduan yang tinggi, dalam menjalankan Program ‘Double Degree’ yang memerlukan ikatan lebih kukuh melalui MoA.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1931
Kongsi :
Previous post Penjawat awam tunjang sistem penyampaian kerajaan – Cuepacs
Next post Wang, wanita dipercayai jadi taruhan sindiket lumba haram
Ubah saiz-+=