Undi awal: Anggota PGA, FRU tunai tanggungjawab di Markas Briged Tengah PGA Cheras – Ayob Khan

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Proses pengundian awal pegawai dan anggota polis serta pasangan masing-masing di Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor hari ini berjalan lancar.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata setakat 8 pagi ini, sudah ramai anggota polis keluar mengundi dan menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Ayob Khan yang melawat pusat pengundian itu ketika ditemui pemberita berkata jumlah keseluruhan pegawai dan anggota serta keluarga melibatkan sebanyak 1,832 orang terdiri daripada 1,031 anggota PGA dan pasangan manakala 801 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) serta pasangan.

“Alhamdulillah, saya lihat berjalan lancar serta terkawal dan kami jangka mereka habis mengundi pada 12 tengah hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Markas Briged Tengah PGA Cheras, di sini.

Ayob Khan tiba di Markas Briged Tengah PGA Cheras pada 7.45 pagi diiringi Komander Briged Tengah PGA SAC Zulkifli Jonit.

Ayob Khan turut meninjau pusat mengundi awal anggota PGA di Sekolah Kelas Al-Quran & Fardu Ain Integrasi Markas Briged Tengah PGA.

Beliau kemudian meninjau pusat pengundian awal anggota FRU di Dewan Kompleks Perdana Pasukan Simpanan Persekutuan di Cheras diringi Komander FRU Bukit Aman SAC Mohd Said Ibrahim.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain meminta pegawai dan anggota polis yang terlibat dengan pengundian awal pada PRN melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya.

Menurut laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengundian awal akan melibatkan 49,660 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan 47,728 anggota polis bersama pasangan masing-masing di enam negeri yang terlibat PRN.

Bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu pula seramai 1,362 anggota polis dan 35 anggota tentera bersama pasangan akan terlibat dengan proses pengundian awal.

SPR menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN di enam negeri serta PRK Kuala Terengganu pada 8 Ogos, manakala hari pengundian pada 12 Ogos ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari hingga 11.59 malam pada 11 Ogos.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1384
Kongsi :
Previous post PRN: Tentera, polis undi awal hari ini
Next post Temui ajal selepas lima jam terbabit kemalangan
Ubah saiz-+=