Usahawan IKS jangan malu pasarkan produk- KM Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

JASIN 27 April – Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negeri ini perlu mempunyai keyakinan diri dalam memasarkan produk mereka secara meluas.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, ia berikutan masih ramai usahawan IKS yang berpotensi tetapi malu untuk keluar dari ‘kepompong’ itu.

“Semua IKS yang ada di negeri ini kebanyakan produk mereka cukup berpotensi tetapi mereka ini takut ataupun malu untuk keluar daripada kepompong ini.

“Orang Melayu ni sebenarnya dia bagus, tinggal nak berurusan dengan orang luar mereka kurang keyakinan, padahal produk mereka bagus. Contohnya bila ‘Mat Saleh’ (pelancong) tanya, dia (Melayu) tak reti nak cakap dan rasa rendah diri,” katanya.

SULAIMAN menyampaikan sumbangan dalam majlis Bantuan Ramadan Parlimen Jasin, di Dewan MPJ, Lipat Kajang.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Ramadan Parlimen Jasin di Dewan MPJ Lipat Kajang di sini, semalam.

Sulaiman berkata, selain memasarkan produk di kampung atau kawasan sedia ada, usahawan IKS digalakkan memasarkan produk mereka di luar.

“Apabila mereka berani dan ada keyakinan diri jadi senang dan boleh berhubung dengan orang lain.

“Usahawan IKS ini perlu mengambil peluang dan saya minta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengadakan program berjumpa dengan tujuh IKS yang berpotensi di negeri ini.

“Ini supaya MATRADE dapat memberikan pembelajaran bagaimana memasarkan produk mereka (usahawan) di luar negeri,” katanya.

SULAIMAN berbual dengan seorang penerima sumbangan.

Terdahulu MATRADE mengadakan perjumpaan bersama Sulaiman di pejabatnya di Seri Negeri.

Perjumpaan itu bagi meningkatkan pemahaman dan pengertian bagaimana usahawan boleh memasarkan produk mereka dengan lebih meluas.

SULAIMAN ketika mengadakan perjumpaan dengan Pengarah Matrade Selatan, Zuazizi Zulkefli, di Pejabat Ketua Menteri, Seri Negeri, Ayer, pagi semalam.

Menurut Sulaiman setakat ini seramai 170 usahawan yang berdaftar dengan MATRADE dan diharap jumlah itu akan bertambah dari semasa ke semasa.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk wira Ghazale Muhammad; ADUN Merlimau, Datuk Roslan Ahmad dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Datin Sapiah Haron.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1015
Kongsi :
Previous post ‘Beritahu saya sekolah mana’- Radzi
Next post Kanak-kanak tiga tahun lemas di tali air
Ubah saiz-+=