Utamakan lagu tradisional, Dondang Sayang

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

BANDA HILIR 20 November – Semua pengayuh beca di negeri ini disarankan supaya menjadikan lagu kebangsaan atau tradisional sebagai pilihan utama mereka untuk menghiburkan pelancong ketika dibawa bersiar-siar sekitar lokasi tumpuan di Banda Hilir.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, selain memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) inisiatif itu secara tidak langsung mampu memartabatkan lagu kebangsaan serta tradisional.

Katanya, peranan yang dimainkan pengayuh beca amat besar, malah mereka dianggap sebagai barisan harapan Kerajaan Negeri sempena TMM2024 nanti.

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan pengusaha dan pengayuh beca supaya memainkan lagu kebangsaan, tradisional mahupun lagu Melayu asli. Lagu seperti Dondang Sayang mahupun Senandung Anak Melaka wajib dimainkan oleh pengayuh beca ini.

“Kita mahu pengunjung datang ke Melaka bukan setakat menikmati keindahan, tetapi mengenali warisan negeri menerusi lagu tradisional.

“Justeru itu kita minta pengayuh mahupun pengusaha beca mengutamakan alunan muzik tempatan, jika sesekali mainkan lagu lain itu boleh tetapi bukanlah sepanjang masa,” katanya.

Dc6b9d6a A483 4ca4 Be94 9250db9f2b3d
GAMBAR fail/ hiasan. Suasana malam di pekarangan bangunan merah, Banda Hilir yang meriah dengan kehadiran pengunjung serta warna-warni beca, semalam. Foto Aufa ‘Izzati

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Amanat Sempena TMM 2024 Dan Pembaharuan Lesen Beca Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) 2024, di Muzium Rakyat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan, Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BBP) Saari Basiron.

Abdul Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas berkata, selain menekankan pemilihan lagu, pengayuh dan pengusaha beca juga diingatkan agar tidak memasang atau memainkan muzik terlalu kuat sehingga menimbulkan rasa kurang selesa pengunjung atau orang ramai berada di sekitar.

“Malah kita juga ingatkan supaya muzik atau lagu yang dipasang tidak terlalu kuat sehingga menimbulkan kacau ganggu kepada orang ramai, cukuplah hanya setakat boleh didengar oleh pelancong atau penumpang beca sahaja,” katanya.

Menurut beliau, sempena TMM2024 juga Kerajaan Negeri menerusi MBMB akan memberi permit percuma kepada semua kira-kira 370 pengayuh beca yang berdaftar.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

702
Kongsi :
Previous post Kemahiran digital belia perlu seiring ilmu kerohanian, jasmani
Next post Medan percambahan minda belia
Ubah saiz-+=