UTC Inovasi terbaik kerajaan – Tengku Zafrul

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

BANDARAYA MELAKA, 22 Julai- Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Zainal Abidin menyifatkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara sebagai inovasi terbaik kerajaan dalam memberi khidmat kepada rakyat.

Beliau berkata, penubuhan UTC adalah bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dapat ditawarkan dengan kaedah paling inovatif dan kreatif.

“UTC merupakan antara model terbaik kerajaan kerana menyediakan pelbagai perkhidmatan penting di bawah satu bumbung khusus kepada rakyat yang memerlukan.

“Maklum balas juga menunjukkan orang ramai berpuas hati dan selesa dengan kemudahan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi taklimat bersama agensi yang beroperasi di bawah UTC menerusi rangka lawatan beliau ke UTC, dekat sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, UTC juga sudah sinonim sebagai satu mercu tanda perkhidmatan terbaik khususnya kepada penduduk bandar dan konsep ini berjaya memberi kepuasan tinggi kepada rakyat.

“Pusat khidmat komuniti yang berkonsepkan mesra rakyat dengan menempatkan jabatan dan agensi kerajaan pusat dan negeri di bawah satu bumbung ini juga akan memberi keselesaan kepada rakyat bagi berurusan dengan pihak kerajaan,” katanya lagi.

Hadir sama, Pengarah Pejabat Belanjawan Negara 2021, Johan Mahmood Merican dan Setiausaha Bahagian-Bahagian Strategi Korporat Dan Komunikasi Kementerian Kewangan Ahmad Suhaimi Endut.

Turut hadir Pengurus Besar UTC Datuk Saleh Mohd Dom dan Pengurus UTC Melaka Siti Aisyah Mahmood.

Sementara itu, Saleh pula berkata, pihaknya sentiasa memperketat kawalan kemasukan pelanggn ke premis berkenaan dengan menjadikannya sebagai keutamaan.

“Tugas itu bukan hanya dilakukan secara bermusim tetapi dijangka sepanjang masa bagi memastikan keselamatan memandangkan UTC merupakan tempat tumpuan awam.

“Walaupun negara berdepan situasi penularan wabak Covid-19 yang terkawal, namun syarat ini terus diperketatkan pelaksanaannya susulan beberapa kejadian baharu kembali menular.

“Justeru, pihak UTC melakukan dua kali saringan dan sukatan suhu badan di pintu masuk bangunan UTC dan satu lagi di pejabat agensi yang dikunjungi,” katanya.

Views:

535
Kongsi :
Previous post “Selagi belum bubar saya buat kerja saya”
Next post Naik taraf rangkaian jalur lebar buat penduduk Melaka
Ubah saiz-+=