Wanita hamil 5 bulan mengidam naik ‘kuda putih’

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

ALOR GAJAH 5 Mei – “Sudah lama isteri saya mengidam. Sejak tiga bulan lalu dan boleh dikatakan hari-hari dia minta pada saya.

“Memang dia betul-betul mengidam untuk naik motosikal polis,” kata Mohd Farid Zuhaili Dahlan, 34, yang lega dan bersyukur selepas ‘hajat’ isterinya, Nor Izzati Syamimi Abd Rashid, 25, sedang hamil lima bulan ditunaikan.

Mohd Farid berkata, pada mulanya dia berasa janggal selepas Nor Izzati menyatakan hajatnya itu, namun atas rasa tanggungjawab dan naluri seorang suami dia berusaha mencari jalan untuk merealisasikan permintaan isterinya.

Dia yang menetap di Kampung Lubuk Redan, Masjid Tanah, berkata, keinginan Nor Izzati yang mengandung anak kedua dan mengidam untuk menaiki kuda putih dianggap sebagai perkara luar biasa.

Demi menunaikan hajat Nor Izzati dia tekad Balai Polis Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, kira-kira 5 petang, kelmarin.

Tanpa diduga hasrat dinyatakan kepada anggota JSPT bertugas bersahut dan memberikan peluang kepada Nor Izzati untuk merasai pengalaman menaiki kuda putih meskipun tidak lama.

“Selepas tiga bulan hajat isteri tercapai. Ketika berada atas motosikal isteri menitiskan air mata, dia berasa amat gembira, bersyukur hajatnya telah ditunaikan.

“Pada awalnya selepas menjalankan pemeriksaan di Hospital Melaka saya menunaikan hasratnya yang mengidam untuk makan nasi kandar dan dia juga menangis, sebab sebak ditunaikan.

“Selepas itu kami berjalan-jalan sekitar Bandar Melaka dan singgah di Balai Polis Banda Hilir, tapi membatalkan hasrat itu sebab isteri saya nampak di balai itu cuma ada motosikal model lama. Jadi kami terus ke Alor Gajah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

WhatsApp Image 2023-05-03 at 6.58.31 PM (1)
NOR Izzati bersama anggota JSPT Alor Gajah selepas menaiki motosikal jenis Honda VFR 800

Menceritakan pengalamannya, Mohd Farid berkata pada mulanya anggota JSPT bertugas di kaunter terpinga-pinga selepas dia menyatakan hasrat isterinya itu malah ada yang ketawa.

“Memang tidak disangka hajat itu ditunaikan lalu anggota JSPT bertugas bawa kami ke tempat parkir motosikal. Isteri akhirnya dapat merasa naik motosikal berkuasa tinggi model Honda VFR 800 yang diidamkan selama ini.

“Terima kasih kepada semua anggota yang terlibat. Saya amat terharu dan bersyukur diberikan peluang ini, isteri saya amat sebak sebab dapat melepaskan apa yang dia idamkan,” katanya.

Terdahulu, menerusi satu video dikongsikan di media sosial kerjasama diberikan warga JSPT Alor Gajah menerima respon positif netizen.

Membantu pasangan itu merealisasikan hasrat mereka adalah Koperal Nur Azlan Radzi dibantu Konstabel Mohammad Azizee Zakaria daripada Bahagian Siasatan dan Pengurusan Trafik Daerah (BSPTD) Alor Gajah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2777
Kongsi :
Previous post UTeM dan LZJT perkasa TVET
Next post Melaka bakal perkenal ‘farming mapping’
Ubah saiz-+=