Wanita rugi RM10,320, terperdaya iklan iPhone murah di Instagram

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 14 Feb – Gara-gara mahu membeli telefon bimbit iPhone 13 Pro dengan harga murah, seorang wanita terpaksa menanggung kerugian besar akibat ditipu ‘scammer’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan, mangsa yang bekerja sebagai pembantu jualan terpedaya dengan tawaran iPhone 13 pro berharga RM1,200 menerusi laman Instagram pada semalam (13 Feb).

Beliau berkata, mangsa kemudiannya bertindak menghubungi suspek melalui nombor telefon yang disertakan dan diarah membuat bayaran secara berperingkat ke dalam akaun yang diberikan.

Bagaimanapun, mangsa berasa dirinya ditipu selepas suspek masih meminta wang daripadanya meskipun sudah memasukkan wang keseluruhan berjumlah RM10,320 pada hari yang sama.

“Suspek menggunakan alasan wang berkenaan akan digunakan sebagai caj pembayaran kastam dan caj insurans pembungkusan.

“Namun apabila suspek masih meminta wang, mangsa baru sahaja menyedari dirinya diperdaya, sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Jasin, semalam,” katanya.

Beliau berkata, hasil semakan pihak polis menerusi aplikasi ‘Semak Mule CCID’ mendapati nombor telefon digunakan suspek mempunyai enam rekod melibatkan modus operandi yang sama.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.

“JSJK Melaka menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan penjualan telefon bimbit secara dalam talian yang menawarkan harga jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

“Orang ramai dinasihati membuat semakan ke atas nombor telefon atau nombor akaun yang meragukan di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau memuat naik aplikasi ‘Semak Mule CCID’ melalui Playstore,” katanya.

Sundra Rajan memaklumkan, setakat 1 Jan hingga 13 Feb, sebanyak tujuh kes penipuan pembelian telefon bimbit secara dalam talian telah direkodkan di Melaka membabitkan kerugian berjumlah RM52,190.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1409
Kongsi :
Previous post Bantuan kewangan haji diumum selepas Arab Saudi umum kos kerjakan haji – Idris
Next post Melaka ‘juara’ vaksin kanak-kanak
Ubah saiz-+=