Warga emas di Melaka masih kurang ambil dos penggalak

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 23 Dis – EXCO Pembangunan Keluarga negeri, Datuk Kalsom Nordin melahirkan kebimbangannya terhadap warga emas di negeri ini yang didapati ‘kurang berminat’ dalam mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin COVID-19.

Menurut beliau, ia disebabkan kurangnya pendedahan tentang kepentingan pengambilan dos tersebut diberikan kepada golongan itu, selain tiada kerjasama daripada keluarga khususnya anak-anak.

“Ada dalam kalangan warga emas ini yang sangat skeptikal dan tidak mahu menerima suntikan dos penggalak kerana bimbang tentang kesannya terhadap kesihatan mereka.

“Ini berlaku disebabkan mereka tidak diberi pendedahan yang jelas tentang perkara ini malah ada dalam kalangan anak-anak mereka juga tidak benarkan ibu bapa mereka yang lanjut usia mengambil dos penggalak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Sukarelawan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Selebriti, Penyampaian Musa’adah Yadim dan program Kembali Ke Sekolah sempena bulan Dakwah 2.0 yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Menurutnya, pemerhatian dan temuduga yang dijalankan beliau sendiri ke atas rakan terdekatnya juga mendapati mereka menolak untuk mengambil suntikan dos penggalak tersebut.

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya berpuas hati terhadap penerimaan golongan warga emas di rumah kebajikan orang tua yang memberi respon terbaik terhadap pengambilan dos penggalak.

“Warga emas di rumah orang-orang tua tiada masalah, ada juga anak-anak mereka tidak benarkan ibu bapa yang berusia agak lanjut mengambil dos penggalak tetapi bilangan mereka tidak ketara,” katanya.

Sehubungan itu beliau berharap agar pihak yang terlibat dapat mempergiatkan kempen kesedaran tentang pengambilan dos penggalak ini dalam kalangan warga emas demi memastikan pelaksanaan program itu berjalan lancar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

590
Kongsi :
Previous post 36 guru di Melaka masih belum divaksin
Next post Guna wang palsu beli kucing Parsi, suami isteri dihadapkan ke mahkamah
Ubah saiz-+=