Wujud elemen pelarian cukai oleh syarikat dapat subsidi minyak masak – LHDN

CYBERJAYA, 23 Mac – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengesan terdapat elemen pelarian cukai dalam kalangan syarikat yang mendapat subsidi minyak masak, melibatkan jumlah cukai dianggarkan RM200 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Nizom Sairi berkata LHDN melaksanakan Operasi Subsidi Minyak Masak atau Op Saji selama tiga hari bermula Isnin lepas (21 Mac) bagi menjalankan siasatan cukai terhadap 63 syarikat, dengan sasaran utama melibatkan kilang pembungkusan semula minyak masak bersubsidi.

“Semasa semakan terdapat syarikat tidak melaporkan amaun jualan yang sepatutnya, tidak melaporkan pendapatan serta tiada fail cukai,” katanya dalam sidang media mengenai Op Saji di ibu pejabat LHDN di sini hari ini.

Siasatan cukai terhadap 63 syarikat itu melibatkan 44 syarikat yang kurang melaporkan pendapatan, 19 syarikat tidak mempunyai fail cukai, serta semakan terhadap 127 pengarah syarikat berkaitan, katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan premis sepanjang Op Saji itu turut mendapati syarikat tidak melaporkan penjualan minyak bersubsidi, menggunakan kuota minyak bersubsidi pihak lain dan menjual minyak tersebut secara haram, serta tidak menggunakan sepenuhnya kuota pembungkusan seperti yang diperuntukkan tetapi menuntut bayaran subsidi penuh.

Mengenai modus operandi penyelewengan subsidi minyak masak, Mohd Nizom berkata syarikat terlibat mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi daripada syarikat pembekal menggunakan lesen daripada syarikat lain untuk dijual pada harga pasaran.

“Mereka juga mengupah pihak ketiga bagi menguruskan pemindahan minyak masak bagi tujuan penjualan ke luar negara, menuntut subsidi tetapi tiada sebarang penjualan minyak masak paket, selain mewujudkan pemborong palsu bagi tujuan tuntutan subsidi tetapi pemborong tersebut merupakan syarikat itu sendiri,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan terhadap pihak yang mengelak cukai iaitu dari sudut melaporkan jumlah pendapatan yang kurang, Mohd Nizom berkata ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 112 (3) dan Seksyen 113(2) Akta Cukai Pendapatan 1967 serta boleh dikenakan penalti sehingga 300 peratus daripada amaun cukai terkurang lapor.

“Kalau kurang lapor (pendapatan) RM1 juta, dan didapati kesalahan adalah berat dan sebagainya, maksimum penalti adalah RM3 juta, dan pembayar cukai kena bayar RM4 juta,” katanya.

Menurutnya, pendapatan terkurang lapor kesan dari aktiviti penyelewengan subsidi minyak masak dianggarkan sebanyak RM1 bilion melibatkan tahun taksiran 2018 hingga 2020.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

9

Share and Enjoy !

Shares
Previous post Solat jemaah di Negeri Sembilan ikut aturan sejadah saiz besar – MB
Next post Sultan Nazrin perkenan solat berjemaah di Perak tanpa penjarakan fizikal mulai Jumaat