
KUCING DI MELAKA ADA MIKROCIP, ‘PET PASSPORT’
SUNGAI UDANG 23 Mei – Menanam mikrocip dalam badan dan memperkenalkan ‘pet passport’ diharap dalam meningkatkan lagi tahap keselamatan serta kecekapan sistem pengurusan haiwan peliharaan di Negeri Melaka.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang Datuk Rais Yasin berkata, usaha itu juga akan memudahkan lagi proses pengecaman haiwan peliharaan sekiranya berlaku kehilangan atau pertikaian pemilikan.
“Inisiatif ini turut menawarkan pemasangan mikrocip pada kos yang rendah sebagai galakan kepada orang ramai, iaitu hanya RM20 berbanding harga pasaran yang boleh mencecah sehingga RM100.
“Program ini menjadi medan penting untuk meningkatkan kesedaran pemilik haiwan terhadap kepentingan pendaftaran sah dan identiti digital haiwan peliharaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Program Pemasangan Microcip dan ‘Pet Passport’ bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di Dewan Serbaguna Taman Keris Satria, di sini, hari ini.
Program anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Melaka itu melibatkan 25 ekor kucing yang dipasang mikrocip selain menerima kad pengenalan haiwan dan sijil penyertaan.
Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, pemasangan cip tersebut bukan sekadar aksesori tambahan.
“Cip ini satu bentuk perlindungan dan pengiktirafan kepada haiwan peliharaan. Dengan bayaran minimum, pemilik boleh memastikan keselamatan haiwan mereka terjamin.
“Saya menggalakkan semua pemilik haiwan lain seperti anjing turut menyertai program seumpama ini sekiranya ia diadakan lagi selepas ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.