
GURU SEJARAH DIHANTAR MELAWAT MAKAM HANG TUAH DI PULAU BINTAN
LENDU 23 Mei – Guru sekolah di negeri ini akan dihantar untuk melihat sendiri makam Hang Tuah di Pulau Bintan, Indonesia, bagi memberikan pendedahan dan meningkatkan lagi tahap pemahaman berhubung sejarah sebenar Melaka yang dibengkokkan oleh penjajah.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kumpulan pertama melibatkan 40 peserta dalam kalangan guru yang diketuai Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman, sudah melawat makam berkenaan pada lawatan berlangsung dari 9 hingga 11 Mei lalu.
Susulan itu, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri sedang dalam perancangan untuk menghantar kumpulan kedua dalam masa terdekat dengan keutamaan diberikan kepada guru subjek sejarah di sekolah menengah.
“Pada lawatan sebelum ini guru dibawa dari Kota Tanjung Pinang hingga ke pinggir Sungai Duyong, iaitu lokasi sebenar makam Hang Tuah, peserta juga diberikan taklimat.
“Lawatan sebelum ini adalah satu perkembangan yang amat baik kerana menjadi antara hasrat utama Kerajaan Negeri adalah memurnikan sejarah sudah lama kehilangan fakta yang sebenar agar dapt dicungkil kembali,” kata Ketua Menteri ketika berucap pada lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Ghafar Baba (SMKGB), Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Lawatan itu bersempena Pertandingan Mural ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat, juga antara pengisian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu merangkap Ketua Menteri Melaka ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka, Mahfudzah Mohamed Noor; Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Alor Gajah, Malek Kasim dan Pengetua SMKGB, Sahreah Md Zin.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, Program Jejak Hang Tuah bermula dari pahlawan itu dilahirkan, seterusnya menyelusuri jejaknya di Melaka hingga meninggal dunia di Pulau Bintan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.