Sorting by

×

MELAKA TERIMA KLINIK PERGIGIAN BERGERAK BERNILAI RM1.6 JUTA

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

SERI NEGERI 10 Jun – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKN) Melaka menerima sebuah klinik pergigian bergerak bernilai RM1.6 juta yang akan diguna untuk meningkatkan lagi capaian perkhidmatan pergigian kepada rakyat di negeri ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, kemudahan baharu itu dilengkapi peralatan pergigian moden mampu memberikan pelbagai rawatan asas termasuk pencegahan secara lebih efisien kepada masyarakat.

“Sejak setahun lalu klinik pergigian bergerak sedia ada sudah tidak dapat digunakan untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat kerana keadaannya sudah uzur.

“Sepanjang tempoh tersebut JKN Melaka terpaksa meminjam kemudahan kesihatan tersebut dari negeri jiran setiap kali  diperlukan bagi melaksanakan program kesihatan di lapangan.

“Dengan adanya aset baharu ini, JKN Melaka bukan hanya dapat meningkatkan mutu perkhidmatan pergigian khususnya malah memastikan lebih ramai golongan sasar dapat menerima rawatan serta pendidikan tentang pergigian,” katanya.

Menurut Hee Sem, klinik pergigian bergerak itu diserahkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad semasa melakukan lawatan kerja ke Melaka, pada Ahad.

“Pastinya mewakili Kerajaan Negeri saya ucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memastikan Melaka mempunyai fasiliti kesihatan yang baik untuk keselesaan rakyat.

“Aset kesihatan ini juga dilengkapi dengan kemudahan yang memenuhi keperluan golongan orang kurang upaya (OKU) seperti penyediaan tangga khas bagi memudahkan akses ke dalam klinik pergigian bergerak, sekali gus menerima rawatan pergigian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

559
Kongsi :
Previous post PROJEK KOMPUTER WAKAF BANTU MAHASISWA KURANG BERKEMAMPUAN
Next post SCAMMER TAWAR HARGA MURAH UNTUK PERANGKAP MANGSA