Sorting by

×

PENERBANGAN TERUS PEKANBARU-MELAKA JIMAT MASA, PERMUDAH PERJALANAN

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

KESIDANG 10 Jun – Pembukaan semula laluan penerbangan terus Pekanbaru-Melaka memberi berita gembira kepada pelancong dari Indonesia yang mengakui perkhidmatan itu memendekkan perjalanan mereka ke negeri ini khususnya bagi tujuan pelancongan dan rawatan kesihatan.

Bagi Veronica Wulandari, 25, penerbangan itu akan menjadi pilihannya untuk bercuti kembali ke Melaka pada penghujung bulan ini kerana menjimatkan masa selain mengurangkan keletihan berbanding laluan yang pernah digunakan sebelum ini.

Menurutnya, sebelum ini dia perlu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke Melaka menggunakan bas yang mengambil masa kira-kira hampir dua jam.

“Alhamdulillah, saya memang kerap datang ke Melaka tetapi ini kali pertama saya tiba menggunakan penerbangan terus dari Pekanbaru kerana selama ini saya perlu transit di Kuala Lumpur atau menggunakan laluan feri dari Dumai,” katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), hari ini.

Veronica berkata, Melaka sentiasa menjadi destinasi pilihannya kerana keunikan makanan dan produk pelancongan yang terdapat di negeri ini.

Katanya, setiap kali berkunjung ke Melaka, dia tidak akan melepaskan peluang menikmati hidangan seperti asam pedas dan ais batu campur (ABC) selain mengunjungi lokasi ikonik seperti Bangunan Stadthuys, Menara Taming Sari dan Melaka River Cruise.

“Saya memang rindu suasana Melaka dan bercadang datang lagi pada hujung bulan ini untuk bercuti menggunakan penerbangan yang sama,” katanya.

6145582285269439039
MARYANTI.

Sementara itu, Maryanti Marjan, 54, berkata dia sudah tidak dapat mengira berapa kali mengunjungi Melaka sebelum ini kerana negeri ini mempunyai daya tarikan tersendiri yang membuatkan pelancong Indonesia sentiasa ingin kembali.

Menurutnya, selain terkenal sebagai bandar warisan yang tenang dan indah, Melaka juga menjadi destinasi pilihan ramai warga Pekanbaru untuk mendapatkan rawatan perubatan.

“Melaka ini kota yang indah, kota tua yang tenang. Saya suka makanannya kerana ada persamaan dengan makanan di Riau seperti ikan patin dan ikan baung, dan apa yang saya paling suka teh tarik di Malaysia kerana rasanya beda (berbeza) di Pekanbaru.

“Sebelum ini ada yang perlu menaiki bas seawal Subuh dari Pekanbaru untuk ke Dumai sebelum menaiki feri atau jika menggunakan pengangkutan udara mereka perlu transit di Kuala Lumpur.

“Kalau bawa anak kecil atau warga emas memang agak meletihkan jadi tentunya penerbangan terus ini lebih selesa dan memudahkan perjalanan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

549
Kongsi :
Previous post PEKANBARU-MELAKA JAMBATAN BAHARU PELANCONGAN SERANTAU
Next post MPHTJ BAWA SINAR BAHARU BUAT KELUARGA CHEN CHEN