Sorting by

×

PAMERAN ROBOTIK, TEKNOLOGI DUNIA AI TERBESAR DI MELAKA ESOK

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KESIDANG 12 Jun – Orang ramai berpeluang menyaksikan pameran robotik dan teknologi kecerdasan buatan (AI) terbesar serta paling interaktif yang akan berlangsung di Malim Food Town, esok.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin berkata, program berkenaan merupakan peluang terbaik untuk orang ramai khususnya kanak-kanak dan remaja merasai sendiri pengalaman teknologi robotik secara lebih dekat.

Menurut beliau, pelbagai aktiviti menarik akan dipersembahkan sepanjang program berlangsung dari jam 10 pagi hingga 8 malam, melibatkan pelbagai demonstrasi robotik dan teknologi AI terkini.

“Persembahan robotik ini adalah antara yang terbesar di Melaka, kita bawa pelbagai jenis robot termasuk robot anjing, robot humanoid dan robot bersaiz besar yang boleh menari, melompat dan melakukan pelbagai aksi menarik seperti kungfu.

“Kita juga ada aktiviti bola sepak dron 3 lawan 3 dan 5 lawan 5, selain peluang kepada pengunjung untuk mengawal dron sendiri serta melihat sendiri bagaimana teknologi AI dan robotik berfungsi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Anugerah 100 Terbaik Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang di Dewan Lestari SK Tengkera 1 bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Kota Melaka: Kampung Kita, DUN Kesidang, di sini, hari ini.

Hadir sama Guru Besar SK Tengkera 1 Sabarina Yaakop; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tengkera 1 Datuk Norazize Annual serta barisan pentadbir dan pengurusan sekolah.

Allex yang juga Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, program itu turut menampilkan robot catur pintar, zon permainan interaktif AI serta pameran teknologi futuristik yang sesuai untuk seisi keluarga.

“Jadi saya jemput semua ibu bapa, anak-anak dan warga Melaka untuk datang beramai-ramai esok (Sabtu) di Malim Food Town. Masuk adalah percuma dan ini adalah peluang terbaik untuk kita dedahkan generasi muda kepada dunia teknologi masa depan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

540
Kongsi :
Previous post SETIAP ANAK ADA KEISTIMEWAAN TERSENDIRI – ALLEX
Next post POLITEKNIK MERLIMAU RANGKUL EMAS, DINOBAT FAC MASTER, LAYAK KE FIRA WORLD CUP 2027