
MAIM SEDIA BANTUAN PENDAFTARAN KE IPT UNTUK ANAK ASNAF
PENGKALAN BATU 12 Jun – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) terus komited memastikan anak-anak daripada keluarga asnaf tidak tercicir daripada melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) menerusi penyediaan Bantuan Pendaftaran Ke IPT.
MAIM dalam satu kenyataan memaklumkan, bantuan itu disediakan bagi meringankan beban kewangan keluarga asnaf fakir dan miskin yang berdaftar dengan MAIM apabila anak mereka menerima tawaran melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Menurut MAIM, bantuan berkenaan terbuka kepada anak tanggungan yang telah didaftarkan di bawah rekod MAIM dan menerima tawaran kemasukan ke mana-mana institusi pengajian tinggi awam, termasuklah Universiti Islam Melaka (UNIMEL) serta Melaka International College of Science and Technology (MiCoST).
Jelas MAIM, bantuan tersebut meliputi pelbagai peringkat pengajian termasuk Sijil Kemahiran, Sijil, Matrikulasi, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda bagi sesi pengajian yang bermula pada tahun 2026.
Selain itu, bantuan turut dibuka kepada pelajar yang melanjutkan pengajian sama ada di dalam mahupun luar negara.
Menurut kenyataan sama, pemohon perlu mengemukakan beberapa dokumen sokongan antaranya surat tawaran pengajian asal, salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan, salinan kad pengenalan serta sijil kelahiran pelajar, salinan pengesahan akaun bank rasmi dan salinan sebut harga yuran pendaftaran.
Permohonan boleh dikemukakan di Pejabat Baitulmal Melaka Tengah, selain Pejabat Agigan Zakat Cawangan Jasin, Alor Gajah dan Merlimau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

