Sorting by

×

SUNGAI MELAKA LOKASI PERTAMA LUAR CHINA PERKENAL BUDAYA PERAHU NAGA SHUANG RAO

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

BANDARAYA MELAKA 14 Jun – Sungai Melaka dipilih sebagai lokasi pertama luar China untuk memperkenalkan budaya Perahu Naga Shuang Rao kepada masyarakat dunia.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pemilihan itu merupakan satu penghormatan besar kepada Melaka yang terkenal sebagai bandar warisan dan pusat pertembungan budaya sejak ratusan tahun lalu.

Katanya, Perahu Naga Shuang Rao merupakan warisan budaya unik dari bandar Yiyang, Wilayah Hunan yang turut diiktiraf sebagai projek wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Hunan pada tahun 2016.

“Lebih lima abad lalu Melaka terkenal di peta dunia sebagai pusat perdagangan dan pertembungan tamadun. Hari ini, Sungai Melaka terus menjadi nadi pelancongan, kebudayaan dan warisan yang menghubungkan masyarakat dari seluruh dunia.

“Justeru, pemilihan Melaka sebagai lokasi pertama di luar China bagi memperkenalkan budaya Perahu Naga Shuang Rao merupakan satu penghormatan yang amat besar buat negeri ini,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perahu Naga Shuang Rao atau Perahu Persahabatan di Jeti Quayside, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin; Timbalan Speaker Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerk Chee Yee; Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China Kepada Ketua Menteri Datuk Wira Lim Ban Hong.

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris serta lebih 50 delegasi dari Wilayah Hunan yang turut memeriahkan majlis tersebut.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, bagi merealisasikan usaha memperkenalkan warisan budaya itu Persatuan Penyelidikan Budaya Perahu Naga Shuang Rao Daerah Heshan, Yiyang telah menghantar bahan kayu khas serta tenaga pakar dari China ke Melaka untuk membina sebuah perahu naga sepanjang 100 kaki.

Katanya, hasil kerjasama tersebut melahirkan sebuah perahu naga yang unik dari segi reka bentuk dan nilai warisannya, sekali gus menjadi lambang kejayaan hubungan budaya antara Melaka dan Hunan.

Tambahnya, persembahan Perahu Naga Shuang Rao melibatkan 101 pendayung dengan 25 peratus peserta dari Hunan manakala selebihnya terdiri daripada peserta tempatan pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, Kadazan dan Iban.

“Gabungan pendayung rentas negara ini bukan sahaja mempamerkan keindahan warisan budaya Perahu Naga Shuang Rao, malah menjadi simbol hubungan erat antara kedua-dua negara.

“Saya turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan dari China yang menghadiahkan Perahu Naga Shuang Rao kepada Persatuan Perahu Naga Negeri Melaka sebagai simbol persahabatan yang terus kukuh antara kedua-dua pihak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

522
Kongsi :
Previous post PERAHU NAGA SHUANG RAO BUKA TIRAI FESTIVAL SUNGAI MELAKA 2026
Next post AJAK SEKAMPUNG FESTIVAL BUKA TIRAI WRUR TELOK MAS