Polis sambung reman seminggu lagi terhadap pasangan suami isteri

Masa Membaca:54 Saat

AYER KEROH 5 Feb – Mahkamah Majistret hari ini membenarkan permohonan polis untuk melanjutkan perintah tahanan reman selama tujuh hari lagi terhadap pasangan suami isteri yang ditahan berhubung kes kematian anak mereka dipercayai akibat didera di Taman Krubong Jaya pada 29 Januari lalu.

Pendaftar Kanan Mahkamah Ayer Keroh, Mohd Anuar Ostadi membenarkan kedua-dua suspek disambung reman bermula hari ini hingga 12 Februari ini bagi membolehkan siasatan dilengkapkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Permohonan reman itu dibuat selepas tempoh reman tujuh hari terhadap dua supek berusia 32 dan 38 tahun yang juga ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak berkenaan tamat hari ini.

Terdahulu, suspek wanita yang mengenakan pakaian lokap jingga manakala suspek lelaki yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di mahkamah berkenaan dengan tangan bergari diiringi polis pada jam 9.10 pagi.

Sebelum ini, Melaka Hari Ini melaporkan kematian tragis kanak-kanak itu yang didakwa mati lemas, namun siasatan awal polis menemui kecederaan fizikal pada badan mangsa disyaki didera.

Sehubungan itu, kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

#dera #suamiisteri #amir #polis

Views:

1726
Kongsi :
Previous post Majoriti subsektor pelancongan gigit jari akibat COVID-19- MTA
Next post Masalah mental, kewangan dan dadah faktor utama berlaku penderaan anak
Ubah saiz-+=