AKMAL diiktiraf anjur kursus integriti peringkat antarabangsa

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 3 Julai – Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL) diiktiraf sebagai Pusat Latihan Serantau (RTC) oleh Pertubuhan Kastam Sedunia (WCO) untuk mengadakan kursus-kursus integriti membabitkan negara-negara luar.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pengiktirafan itu membuktikan akademi kastam di negara ini mempunyai fasiliti yang lengkap sehingga dipilih ke tahap itu.

“AKMAL menjadi RTC antarabangsa di Asia Pasifik sejak 2004 oleh WCO, sehingga kini AKMAL berjaya melatih kira-kira 5,000 pegawai kastam seluruh dunia.

“Tahun ini sahaja ada lapan kursus RTC peringkat antarabangsa yang diadakan di AKMAL, tidak mustahil hasrat kita untuk menjadikan akademi kastam bertaraf dunia akan tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kursus Integriti Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL) bersama WCO dan Regional Office For Capacity Building (ROCB) di AKMAL Bukit Baru di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Zazuli Johan dan peserta-peserta kursus daripada 20 buah negara.

Dalam pada itu, Ahmad berkata JKDM merekodkan jumlah kutipan hasil sebanyak RM26.6 bilion bagi tempoh Januari 2023 sehingga Jun 2023.

“Tahniah JKDM kerana enam bulan pertama tahun ini telah mengutip hasil sebanyak RM26.6 bilion melebihi kutipan tahun lepas (2022) dalam tempoh yang sama iaitu RM25 bilion.

“Diharap hujung tahun ini kutipan hasil ini akan melebihi tahun yang lalu, kita sasarkan kutipan hasil tahun ini adalah sebanyak RM53 bilion,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1267
Kongsi :
Previous post Menara Taming Sari dibaik pulih, beroperasi semula hari ini
Next post Unimel dijangka terima 1,000 pelajar baharu
Ubah saiz-+=