Bajet 2023: Prihatin, bantu rakyat di semua peringkat – Ab Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

TANJUNG BIDARA 8 Oktober – Bajet 2023 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, semalam, merupakan sebuah bajet yang menyeluruh menyentuh keprihatinan demi membantu rakyat pelbagai peringkat di negara ini.

Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyifatkan ia pembentangan menyeluruh yang menyentuh pemerkasaan dalam pelbagai sektor di negara ini, termasuk pelaburan dan industri yang turut akan menerima tempias.

“Saya menyatakan bahawa setiap pembentangan yang dibuat ini telah menyentuh segala aspek peringkat masyarakat, di mana ia telah dibuat kajian terperinci oleh Kerajaan.

“Saya melihat bajet ini dapat memberikan gambaran bahawa tahun 2023 merupakan tahun terbaik untuk bukan sahaja mengurus pembangunan negara, bahkan juga untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Masjid Tanah di Villa D’ Acqua, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun menjangkakan pembentangan bajet dengan peruntukan RM372.3 bilion itu berkemungkinan dijadikan ‘modal’ pihak pembangkang untuk melakukan serangan terhadap apa yang dilaksanakan Kerajaan pada hari ini.

“Kita melihat mereka menyatakan banyak unsur-unsur negatif yang telah ditimbulkan dalam bajet ini namun kita ketahui bajet ini sebenarnya digunakan untuk menguruskan pembangunan kemajuan Kerajaan demi negara pada 2023,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1709
Kongsi :
Previous post Bajet 2023: Lonjak potensi atlet Melaka
Next post Para Sukma: Melaka sasar 12 emas
Ubah saiz-+=