Beri masa enam bulan siapkan masjid

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

MERLIMAU 3 Dis. – Kira-kira 6,000 penduduk sekitar Kampung Seri Mendapat, di sini merayu kerajaan segera menyiapkan projek pembinaan masjid baharu di kampung berkenaan yang terbengkalai sejak hampir tiga tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Seri Mendapat, Ramli Mohd. Tahir, 47, berkata, masjid berkenaan sepatutnya siap pada 2018, namun tertangguh sehingga kini walaupun ianya sudah hampir 70 peratus siap.

“Sejak pembinaannya tertangguh, bermacam persoalan timbul dalam kalangan penduduk kerana pembinaannya sudah hampir siap menggantikan Masjid Al-Mukminun yang sudah berusia lebih 30 tahun.

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman (kiri) melawat masjid yang terbengkalai di Kampung Seri Mendapat, Semujuk. Foto: MR. Azli

“Saiz masjid lama hanya mampu memuatkan kira-kira 1,000 jemaah pada satu-satu masa sedangkan penduduk di kampung ini berjumlah lebih 6,000 orang termasuk 2,500 pelajar lelaki di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Jasin.

“Sebab itu, keperluan masjid baharu ini sangat mendesak dan berharap campur tangan kerajaan terhadap pemaju untuk segera menyiapkan projek ini,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Imam I Masjid Al Mukminun, Mohd Jamjam Rasid berkata, beliau difahamkan pemaju projek masjid baharu itu yang menelan kos pembinaan RM6 juta mengalami masalah kewangan sehingga menjadi punca ianya terbengkalai.

“Saya harap, pembinaannya dapat diteruskan kerana terdapat beberapa lagi kawasan perumahan baharu sedang dibina sekali gus akan menambah bilangan ahli kariah masjid sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman, yang turut melawat tapak masjid berkenaan berkata, projek terbabit tergendala disebabkan masalah kewangan yang dihadapi pemaju menyebabkan kontraktor dilantik terpaksa menghentikan kerja-kerja pembinaan.

“Sebelum ini kita telah tubuhkan satu jawatankuasa khas dianggotai wakil pemaju, kontraktor serta beberapa agensi kerajaan berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian menyiapkan masjid ini yang dianggarkan menelan kos perbelanjaan sebanyak RM6 juta.

“Hasilnya, syarikat pemaju setuju untuk menyiapkan masjid ini dalam tempoh enam bulan dan dijangka siap menjelang Mei tahun depan.

“Kerja-kerja pembinaan dan pemulihan masjid berkeluasan 2.02 hektar akan bermula esok oleh kontraktor sama dan jawatankuasa akan memantau rapat perkembangannya sehingga ianya siap dalam tempoh enam bulan,” katanya.

Views:

1384
Kongsi :
Previous post JPJ Johor keluarkan 395 notis kepada pemandu, pemilik lori bawa lebih muatan
Next post Perluas skop laporan bantu pengamal media tempatan
Ubah saiz-+=