Bina lebih banyak gerai peniaga kecil di lokasi strategik
AYER KEROH 24 Februari – Persatuan Penjaja, Peniaga Kecil dan Usahawan Gemilang Melaka berharap lebih banyak peruntukan disalurkan bagi pembinaan gerai untuk golongan itu di negeri ini.
Yang Dipertuanya, Datuk Zaleha Bujang berkata pembinaan gerai itu mestilah di kawasan yang strategik bagi menjamin peniaga mendapat pulangan terbaik.
“Sebelum ini kita sudah dengar Perdana Menteri bercakap, kali ini beliau akan membantu semua peniaga-peniaga kecil menjana pendapatan.
“Dalam keadaan sekarang golongan ini sangat memerlukan bantuan kewangan, peralatan perniagaan dan sebagainya selain memperbanyakkan lagi dana untuk peniaga kecil.
“Sebab itu saya minta kerajaan membantu peniaga-peniaga ini khususnya di Melaka dengan mewujudkan gerai di kawasan strategik, kadar sewa pula janganlah terlalu tinggi,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.
Menurutnya setakat ini seramai 5,000 usahawan yang telah berdaftar di bawah persatuannya.
“Saya minta agar urusan membina dan menyewa gerai diberikan kepada persatuan supaya lebih mudah untuk kita bantu. Kita tidak mahu ada warga asing ambil kesempatan berniaga di gerai ini nanti.
“Harga sewa gerai saya lihat sekarang ini agak tinggi, saya cadangkan supaya gerai-gerai kecil ini diberikan sewa dalam RM200 sahaja,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.