Bomoh ‘Atok’ sapu limau nipis, telur ke badan wanita didakwa

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 15 Feb- Seorang bomoh warga emas mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini atas pertuduhan mencabul pesakitnya ketika memberikan rawatan, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Raba’ai Parman, 66, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Mengikut pertuduhan, Mohd Raba’ai didakwa melakukan cabul dengan menyapukan limau nipis dan telur ayam ke atas badan mangsa, seorang wanita berusia 41 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di kediamannya di Taman Rambai Utama, Melaka Tengah kira-kira jam 9 malam, 11 Jan lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Difahamkan mangsa bersama rakan lelaki dan anak perempuannya datang ke rumah suspek yang dipanggil ‘Atok’ untuk mendapatkan rawatan selepas berasa emosinya sering tidak stabil serta kerap marah.

Mangsa mendakwa diarah berkemban dan mandi sebelum tertuduh memulakan proses rawatan sehingga cuba meraba alat sulitnya.

Terdahulu prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan RM4,000 dengan mengambil kira kes berkenaan adalah melibatkan cabul pesakit.

Mohd Raba’ai diwakili peguam Senthil Ramu bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan memandangkan anak guamnya menghidap pelbagai masalah kesihatan selain tidak bekerja dan menanggung isteri yang kurang sihat.

Mohamad Izwan pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan mengarahkannya untuk tidak mengganggu serta mendekati mangsa yang juga saksi pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 28 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1876
Kongsi :
Previous post Remaja 15 tahun didakwa bunuh bayi sendiri
Next post Melaka bakal adakan sambutan Bulan Solat
Ubah saiz-+=