Cadang wujudkan satu pas boleh masuk semua muzium di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 19 Jun – Kerajaan Negeri bercadang memperkenalkan satu pas atau tiket kemasukan ke semua muzium dalam negeri ini dengan satu bayaran bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata bagaimanapun perkara terbabit masih di peringkat perbincangan dan belum dilaksanakan.

Katanya, Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri telah menggariskan pelbagai perkara dan akan dibahagikan kepada beberapa segmen melibatkan kawasan tapak warisan sejarah dunia (UNESCO), muzium dan beberapa kawasan pelancongan lain.

“Kita juga akan melaksanakan beberapa kajian sebelum melaksanakan pas atau tiket (satu tiket dan boleh masuk ke semua muzium) ini.

“Hal ini bagi menggalakkan pengunjung melawat ke muzium-muzium yang disediakan dan sebagai usaha untuk generasi akan datang mencintai seni warisan peninggalan nenek moyang kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Seminar ‘Kapal Mendam Berahu’: Realiti atau Mitos? di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Seminar terbabit telah dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem dan Pengerusi Lembaga Pengarah Perzim, Datuk Akramuddin Ab Aziz.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1640
Kongsi :
Previous post Bina replika asal Kapal Mendam Berahi sebelah Muzium Kapal Selam
Next post Warga emas maut dipercayai dibunuh anak selepas ditegur buat bising
Ubah saiz-+=