Warga emas maut dipercayai dibunuh anak selepas ditegur buat bising

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

JOHOR BAHRU, 19 Jun – Seorang warga emas maut dipercayai dibunuh anak lelakinya selepas ditegur oleh mangsa kerana membuat bising dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Temiang, dekat Muar, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata dalam kejadian 8.20 malam itu, wanita yang berusia 73 tahun tersebut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta leher kerana dipercayai dipukul oleh anaknya yang berusia 47 tahun dengan menggunakan senjata tajam.

“Mangsa terbunuh di tempat kejadian iaitu di rumah mereka selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta leher.

“Kejadian berlaku dipercayai akibat tindakan mangsa menegur anaknya itu kerana membuat bising yang menyebabkannya mengamuk dan memukul kepala mangsa dengan menggunakan senjata tajam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata lelaki terbabit yang didapati mempunyai rekod psikiatri lampau, ditahan sejurus pihak polis berada di lokasi kejadian.

Raiz Mukhliz berkata pihaknya turut merampas sebilah pisau dapur dan kapak yang disyaki digunakan lelaki terbabit dalam kejadian itu.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk bedah siasat, katanya.

Beliau pada masa sama menasihati orang ramai agar peka serta melakukan pemantauan rapi terhadap mana-mana individu yang mengalami masalah psikiatri seumpama itu, supaya tidak mendatangkan bahaya kepada nyawa, harta, individu lain, ahli keluarga serta keselamatan awam.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1799
Kongsi :
Previous post Cadang wujudkan satu pas boleh masuk semua muzium di Melaka
Next post 1,000 penyelidik, ahli sejarah dan ilmuan bincang kewujudan Mendam Berahi
Ubah saiz-+=