1,000 penyelidik, ahli sejarah dan ilmuan bincang kewujudan Mendam Berahi

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 19 Jun – Seminar ‘Kapal Mendam Berahi’: Realiti atau Mitos? menghimpunkan hampir 1,000 penyelidik, ahli sejarah dan ilmuan dalam satu platform.

Seminar anjuran anjuran Kementerian Perpaduan Negara melalui Muzium Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) itu berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim berkata, seminar itu juga dilihat sebagai kaedah percambahan dan penyebaran ilmu sejarah pengkisahan Negeri Melaka.

Katanya, hasil dapatan maklumat dari seminar tersebut boleh dijadikan panduan kepada Kerajaan Negeri Melaka dan pihak terlibat dalam merealisasikan pembangunan replika asal kapal terbabit bagi tujuan pelancongan.

“Pada seminar ini difahamkan akan membincangkan mengenai Kapal Mendam Berahi dan sebagai sebuah kerajaan Maritim, Melaka diakui mempunyai kekuatan pada suatu masa dahulu.

“Salah satu yang pernah diperkatakan adalah kapal ini dipercayai antara kapal utama yang dibina tukang kapal Melaka untuk pelayaran termasuk perutusan peminangan Sultan Melaka ke Majapahit.

“Kapal ini dianggap lagenda atas saiz, fungsi, kekuatan dan reka bentuknya namun sehingga kini masih dibincangkan oleh penyelidik,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar ‘Kapal Mendam Berahi’: Realiti atau Mitos? di MITC di sini hari ini.

Seminar terbabit telah dirasmikan oleh Yang diPertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem; Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan dan Pengerusi Lembaga Pengarah Perzim, Datuk Akramuddin Ab. Aziz.

Mengulas lanjut, Noridah berkata, pada seminar terbabit seramai lapan pembentang kertas kerja sudi berkongsi ilmu dan pengalaman penyelidikan mereka.

“Seminar ini bakal menyumbang input, menggali maklumat, menyingkap yang tersembunyi untuk disebarkan kepada rakyat Malaysia khususnya Melaka dan dunia amnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1245
Kongsi :
Previous post Warga emas maut dipercayai dibunuh anak selepas ditegur buat bising
Next post Kereta mewah antara 29 kenderaan dilelong JPJ Melaka, 11 Julai ini
Ubah saiz-+=