COVID: 6,045 kes baharu, kes kumulatif cecah 778,652

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

KUALA LUMPUR 4 Julai – Malaysia mencatatkan 6,045 kes baharu COVID-19 hari ini berbanding 6,658 kes semalam, dengan jumlah kes kumulatif mencecah 778,652 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian dalam Twitter memaklumkan Selangor mencatat kes harian tertinggi dengan 2,262 kes diikuti Kuala Lumpur (616); Negeri Sembilan (531); Johor (500); Perak (384); Sarawak (365) dan Kedah (332).

Melaka pula mencatatkan 290 kes diikuti Sabah (228); Pulau Pinang (173); Kelantan (124); Pahang (95); Labuan (75); Terengganu (54); Putrajaya (16) manakala tiada kes baharu di Perlis.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan memaklumkan daripada 6,045 kes baharu, 20 adalah kes import terdiri daripada 13 warganegara dan tujuh bukan warganegara dan 6,025 kes melibatkan penularan dalam negara terdiri daripada 4,647 warganegara dan 1,378 bukan warganegara.

Kes sembuh dicatat hari ini adalah 5,271 menjadikan jumlah kumulatif kes pulih 705,486, manakala kes aktif terus meningkat kepada 67,669 kes.

Beliau berkata seramai 917 orang kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 443 orang daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Sejumlah 63 kematian direkodkan hari ini melibatkan 54 warganegara dan sembilan warga asing, menjadikan angka keseluruhan korban COVID-19 kini 5,497 orang,” katanya sambil memberitahu remaja perempuan berusia 13 tahun dengan sejarah penyakit epilepsi adalah adalah kes kematian paling muda.

Dr Noor Hisham berkata 17 kluster baharu dikesan dengan 11 daripadanya melibatkan penularan di tempat kerja, lima kluster komuniti dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

Kluster tempat kerja itu ialah Jalan Wira Lapan, Industri Parit Jamil, Industri Parit Hulu dan Jalan Perindustrian Agas 11 di Johor; Kilometer 22 Jalan Gambang dan Industri Bypass Gebeng (Pahang); Industri Jalan Bangi Lama (Selangor); Pengkalan Batu (Kelantan); Lorong Sungai Tiram (Pulau Pinang); Bahtera Barat (Sabah) dan 35 Bintulu (Sarawak).

Bagi kluster komuniti pula, ia melibatkan Kluster Sungai Pelepak dan Sungai Entajum di Sarawak; Kampung Jeram Perdah (Kelantan); Lorong Empat Sekinchan (Selangor); dan Gong Pasir (Terengganu) manakala kluster kumpulan berisiko tinggi melibatkan Persiaran Kempas Jernih (Johor).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

909
Kongsi :
Previous post Kluster Jalan Kolej Yayasan tamat
Next post COVID: Hospital swasta sediakan jururawat bantu hospital kerajaan
Ubah saiz-+=