‘Cucu asyik tanya bila atuk nak balik..’

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SUNGAI UDANG 20 April – “Kami sekeluarga menanti ayah malah cucunya pun asyik tanya bila atuk nak balik,” demikian luahan seorang pemuda, Abdul (bukan nama sebenar), 25 yang menyambut pembebasan bapanya Azlan (bukan nama sebenar) di Penjara Sungai Udang, semalam.

Kata Abdul, pembebasan bapanya dari penjara lebih awal daripada tarikh sepatutnya itu menjadi hadiah teristimewa menjelang Syawal ini memandangkan bapanya seorang yang rapat dengan cucu-cucunya.

Selain bersyukur dapat beraya bersama, Abdul hanya berharap bapanya tidak mengulangi kesilapan yang sama lagi.

“Ayah saya masuk sini (penjara) atas kesalahan dadah pada 2 Februari lepas tetapi tak sangka beberapa hari menjelang Syawal dia sudah boleh dibebaskan.

“Syukur, kami gembira sangat dan saya memang bertekad untuk menjaga ayah baik-baik selepas ini.

“Saya cuma berharap ayah dapat berubah dan tidak kembali ke penjara lagi kerana kami semua sayangkannya,” katanya ketika ditemui di Penjara Sungai Udang.

Bapa kepada Abdul menjadi antara 18 banduan Kompleks Penjara Sungai Udang yang dipilih menjalani pelepasan secara berlesen sempena Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, Pengarah Penjara Melaka, Roslan Mohamed berkata, banduan yang terpilih adalah dalam kalangan mereka yang terlibat dengan kes dadah atau kesalahan-kesalahan kecil membabitkan hukuman di bawah satu tahun.

Katanya, kesemua banduan yang dibebaskan itu berusia dalam lingkungan 30 hingga 60 tahun.

“Empat daripada mereka dijemput keluarga dan empat lagi dihantar menjalani latihan kemahiran berbayar menerusi program ‘Corporate Smart Partnership’ (CSI), sementara 12 lagi dihantar ke rumah perantaraan (RP) di Kuala Lumpur atas beberapa faktor,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1658
Kongsi :
Previous post Barangan keperluan hari raya mencukupi – Exco
Next post Pelancongan MICE bantu tingkat tempahan hotel Melaka
Ubah saiz-+=