FAMA jayakan DAN 2.0 melalui pembangunan pusat rujukan pertanian berteknologi tinggi

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memainkan peranan penting dalam menjayakan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dengan membangunkan Pusat Rujukan Pertanian Berteknologi Tinggi yang menggunakan teknologi terkini dalam penghasilan tanaman.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata kaedah itu secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan usahawan tani dan menarik minat golongan muda untuk menceburi bidang pertanian.

“Sumbangan sektor agromakanan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka akan meningkat lima peratus menjelang 2030 iaitu akhir tahun pelaksanaan DAN 2.0 berbanding 2.3 peratus pada 2020,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan FAMA di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang Tahun 2022 di Ibu Pejabat FAMA di sini, semalam.

Beliau berkata DAN 2.0 meletakkan pemodenan dan pertanian pintar sebagai ‘key game changer’ dan teras dasar utama yang diberikan tumpuan bagi menjayakan transformasi sektor agromakanan.

Pelaksanaan DAN 2.0 dipacu oleh enam objektif, didukung lima teras serta disokong 21 strategi dan 77 pelan tindakan yang akan direalisasikan melalui pelbagai jabatan dan agensi dalam tempoh 10 tahun sehingga 2030.

Sementara itu Ronald berkata Agrobazaar Online telah melahirkan 6,597 usahawan dan mempunyai 19,045 Stock Keeping Unit (SKU) sehingga kini.

Beliau berkata Agrobazaar Online merupakan portal e-dagang milik penuh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang dibangunkan dan diuruskan oleh FAMA, dan telah berjaya mencatatkan nilai jualan terkumpul RM9.3 juta sehingga tahun lepas.

Seramai 311 warga FAMA telah diraikan dalam majlis sempena APC hari ini termasuk penerima APC, kakitangan bersara, penerima Anugerah Khidmat Setia dan Anugerah Khidmat Amat Setia serta Anugerah Khas.

Pada majlis itu Ronald juga merasmikan dewan baharu di Ibu Pejabat FAMA yang boleh memuatkan 150 orang pada satu-satu masa mengikut amalan norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

988
Kongsi :
Previous post Sarawak catat peratusan vaksinasi kanak-kanak tertinggi
Next post Semangat ‘srikandi’ bantu Melaka johan Liga Futsal Wanita
Ubah saiz-+=