Geng pecah tabung masjid tumpas

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 5 Mac. – Polis Melaka menumpaskan kumpulan yang aktif menjalankan kegiatan pecah tabung rumah ibadat di sekitar negeri ini hasil penahanan dua lelaki pada Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, kumpulan dikenali ‘Geng Raj’ itu dipercayai aktif sejak Disember tahun lalu dengan melakukan jenayah pecah tabung surau, masjid serta tokong pada waktu malam hingga awal pagi.

Menurutnya, suspek berusia 22 dan 24 tahun itu ditahan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di dua lokasi berasingan di Taman Lipat Kajang Perdana dan Tehel, Jasin kira-kira 12.30 tengah malam.

“Modus operandi kumpulan ini akan memecahkan tabung rumah ibadat dengan mengumpil atau membakar mangga tabung sebelum melarikan wang tunai.

“Kita turut merampas kereta jenis Perodua Viva dan sebuah motosikal Demak serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah itu,” katanya dalam satu kenyataan.

POLIS sedang mengesan Noor Rahman Abd Rahim (gambar) bagi membantu siasatan.

Jelas Mohd Sukri, dengan penangkapan kedua-dua suspek, pihaknya yakin telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tujuh kes pecah tabung di rumah ibadat yang berlaku dalam tempoh dua bulan.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman sehingga 8 Mac ini dan kes disiasat mengikut  Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Bagimanapun, pihaknya masih mengesan seorang lagi individu bernama Noor Rahman Abd Rahim, 34, yang dipercayai boleh membantu siasatan.

“Sebarang maklumat boleh berhubung pegawai penyiasat kes Sarjan Mohd Hanafi Md Zam di talian 019-3646812,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

792
Kongsi :
Previous post Hidangan ‘rare’ penyeri buffet Ramadan Hotel LaCrista Melaka
Next post SWCorp Melaka buat ‘lawatan mengejut’ ke 400 buah rumah
Ubah saiz-+=