Gol penalti Helal kecewakan skuad Harimau Malaya

Masa Membaca:2 Minit, 47 Saat

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Jaringan sepakan penalti pemain gantian Abdulla Yusuf Helal pada penghujung perlawanan memusnahkan impian Malaysia mencipta kejutan ke atas Bahrain apabila tewas 1-2 pada aksi kedua Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023, malam ini.

Pada aksi di Stadium Nasional di Bukit Jalil itu, Helal menjaringkan gol kemenangan apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-81 yang diberikan pengadil dari Tajikistan Sadullo Gulmurodi selepas penjaga gol Mohd Farizal Marlias menjatuhkan Ali Jaafar Madan dalam kotak penalti.

Terdahulu, pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh membuka tirai jaringan buat Malaysia pada minit ke-55 sebelum Ali Abdulla Haram menyamakan kedudukan buat Bahrain dua minit berselang.

Beraksi di depan lebih 63,000 penyokong, Malaysia ternyata lebih mendominasi 45 minit pertama permainan dengan beberapa siri serangan sementara benteng pertahanan Bahrain bekerja keras menyerap asakan demi asakan skuad Harimau Malaya.

Pasukan negara tidak menunggu lama untuk memberikan amaran seawal minit kelima apabila hantaran jauh Ahmad Khuzaimi Piee tepat ke kaki Junior Eldstal tetapi beliau lambat menolak bola menyaksikan penjaga gol Sayed Mohammed Abbas bertindak menyelamatkan keadaan.

Malaysia terus melancarkan serangan berbahaya dengan penyerang, Muhamad Nazmi Faiz Mansor, Darren Lok dan Junior masing-masing mempunyai peluang untuk meletakkan Malaysia di depan dalam tempoh 15 minit pertama, namun Abbas cemerlang muncul watak penyelamat.

Peluang keemasan untuk Malaysia memecah kebuntuan hadir pada minit ke-31 menerusi pemain sayap Muhammad Akhyar Abdul Rashid yang berjaya melepasi perangkap ofsaid selepas menerima hantaran Mohamed Syamer Kutty Abba, namun rembatannya berjaya ditepis keluar Abbas.

Kebuntuan kedua-dua pasukan membuka tirai jaringan menyaksikan separuh masa pertama berakhir dengan keputusan tanpa jaringan sebelum aksi menjadi lebih rancak pada babak kedua perlawanan.

Bahrain dibimbing Helio Sousa memulakan permainan dengan garang apabila terlebih dahulu menguji penjaga gol Mohd Farizal Marlias menerusi rembatan deras jarak jauh Komail Hasan Al-Aswad pada minit ke-46.

Bagaimanapun, satu gerakan serangan balas dicipta anak buah Kim Pan Gon berjaya membuahkan hasil untuk memecah kebuntuan selepas pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh berjaya menolak masuk bola hantaran lintang Ahmad Khuzaimi pada minit ke-55.

Sementara itu, Pan Gon berkata keadaan padang yang becak kerana hujan lebat menghalang anak-anak buahnya mempamerkan aksi yang lebih baik selain mengakui kesilapan dilakukan pemain kebangsaan memberikan impak kepada keputusan perlawanan.

“Malam ini adalah penting untuk sekurang-kurangnya mendapatkan satu mata, kami menjaringkan gol dahulu kami boleh boleh berada di tangga teratas kumpulan , kami perlu bangkit segera untuk memberi tumpuan kepada perlawanan seterusnya.

Perlawanan seterusnya amat penting buat kami, kami perlu dapatkan tiga mata untuk menduduki tempat kedua kumpulan atau siapa tahu apa yang akan berlaku dalam perlawanan antara Bahrain dengan Turkmenistan, kami masih lagi ada peluang,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Sousa pula berkata beliau gembira pasukannya berjaya mengatasi tekanan dan keadaan padang untuk memperoleh tiga mata berharga dalam perlawanan dengan Malaysia malam ini yang disifatkan beliau bermain dengan baik sepanjang 90 minit permainan.

“Saya amat berterima kasih kepada pemain-pemain saya, mereka hebat, sukar dibayangkan mereka amat bersemangat dan komited kepada negara mereka, pasukan Bahrain, penyokong Bahrain apa yang mereka lakukan malam ini adalah luar biasa. 

Malaysia adalah sebuah pasukan yang baik, pasukan yang kuat, ranking semasa Malaysia tidak menunjukkan kualiti pasukan dan pemain yang ada  pada masa ini, dan kami berjuang dengan apa yang kami ada dan saya rasa kami berhak untuk menang dan ia penting buat kami,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

966
Kongsi :
Previous post Bekas Yang Dipertua Dewan Negara Abang Ahmad Urai meninggal dunia
Next post Dua wanita maut dalam kebakaran lima rumah di Tawau
Ubah saiz-+=