Hilux bertembung Alza, Kanak-kanak lima tahun maut

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

JASIN 24 September – Kanak-kanak lima tahun maut manakala kakak dan bapanya parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dinaiki bertembung dengan Toyota Hilux di Jalan Kesang Garing, di sini, jam 11 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, mangsa Afif Daiyan Shamsuri, berada di tempat duduk belakang Produa Alza disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat parah di kepala.

Katanya, pemandu Perodua Alza yang juga bapa kanak-kanak terbabit, Shamsuri Mohd, 45, dan kakak mangsa, Auni Dalili 11, parah di kepala serta badan.

Mispani berkata, sementara itu ibu mangsa Che Hasliza Che Ha, 43, hanya mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu Toyota Hilux Desmond Chew Fu Weng, 46, pula cedera di dada.

“Hasil siasatan mendapati empat beranak itu dalam perjalanan dari arah Kesang menghala Durian Tunggal, manakala Toyota Hilux pula datang dari arah Durian Tunggal ke Jasin.

“Pemandu Toyota Hilux dipercayai hilang kawalan menyebabkan kenderaannya memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Perodua Alza,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, semua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Jasin untuk rawatan lanjut, jenazah Afif Daiyan turut dihantar ke Jabatan Forensik hospital sama untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca menyebabkan kematiannya.

“Kes disiasat di bawah Seksyan 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6778
Kongsi :
Previous post Peratusan pekerja mendaftar dengan kesatuan sekerja masih rendah
Next post 37 pekerja kilang nyaris maut, bas terbabas masuk gaung
Ubah saiz-+=