KBS perluas tayangan skrin gergasi acara sukan

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 26 Januari – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merancang untuk memperluas tayangan skrin gergasi bagi pelbagai acara sukan melibatkan atlet negara.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, inisiatif itu sebagai tanda sokongan kepada atlet negara yang beraksi di pentas kejohanan antarabangsa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, setakat ini, setiap negeri mempunyai lokasi untuk tayangan skrin gergasi dan lokasi tayangan akan ditambah dan dipilih mengikut kesesuaian dengan kerjasama pelbagai pihak.

“Tayangan skrin besar atau gergasi ini bukan saja bagi perlawanan bola sepak tetapi juga perlawanan penting lain sebagai sokongan kepada atlet negara.

“Seperti sebelum ini kita anjur tayangan skrin gergasi bagi perlawanan hoki dan kita merancang untuk tambah lagi lokasi tayangan skrin besar ini dan jadikan lebih sistematik selepas ia dimulakan pada tahun lalu.

“Untuk Piala Asia 2023 sahaja, direkodkan seramai 62,000 peminat di seluruh Malaysia telah hadir memberi sokongan kepada Harimau Malaya menerusi tayangan skrin gergasi di 16 lokasi terpilih sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke program tayangan skrin gergasi Malaysia menentang Korea Selatan bagi saingan Piala Asia 2023 di Dataran Bandaraya MBMB, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka, Mohd Asri Ninggal.

Pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan itu, pasukan kebangsaan berjaya mengikat pasukan yang berada di ranking ke-22 dunia, Korea Selatan dengan keputusan 3-3.

Malaysia mengakhiri saingan di kedudukan terakhir kumpulan E dengan mengutip satu mata hasil satu seri dan dua kekalahan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

549
Kongsi :
Previous post 1,500 orang Melaka beri sokongan buat Harimau Malaya
Next post Kesungguhan Harimau Malaya di pentas Piala Asia wajar dipuji
Ubah saiz-+=