Sorting by

×

Kekurangan diri tidak halang graduan OKU genggam ijazah di UPM

Masa Membaca:2 Minit, 35 Saat

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Kekurangan diri bukanlah penghalang buat beberapa graduan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk menggenggam segulung ijazah, pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-45, hari ini.

Mohamad Ridzuan Zakaria, 27, yang menghidap sindrom Kecelaruan Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan (ADHD) sejak kecil, antara graduan berjaya memperoleh ijazah dalam program Bacelor Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu).

Graduan berusia 27 tahun itu berkata doktor mengesahkan beliau didiagnosis dengan ADHD, berikutan komplikasi dalam kandungan dan perkara itu menyebabkan beliau mengalami masalah daya ingatan lemah, serta sukar bergaul dengan rakan-rakan ketika di bangku sekolah.

“…di kampus pula ramai meragui kebolehan saya, dan ada yang mempersoalkan sekiranya saya ada masalah ADHD, nampak macam okay sahaja. Tapi saya faham, tidak ramai tahu sememangnya ada OKU ADHD di Malaysia,” katanya ketika ditemui Bernama di Dewan Pusat Kesenian dan Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM hari ini.

Bagi menolak persepsi masyarakat dan rakan-rakan, Ridzuan mengambil inisiatif dengan menyertai pelbagai aktiviti di kampus, seperti menjadi presiden Persatuan Silat Gayung di UPM serta memasuki pertandingan membaca puisi di peringkat kolej, walaupun keputusan yang kurang memberangsangkan.

Graduan OKU yang turut menerima ijazah bagi program Bacelor Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu) adalah Mior Mohd Firdaus Mior Mohd Fadzli, 25, yang mengalami kecacatan fizikal di kaki kanan, selepas terlibat dengan kemalangan motosikal pada 2012.

Beliau pada mulanya hanya mengalami patah kaki kanan sebelum kaki itu menjadi kehitaman dan terpaksa dipotong, menyebabkan beliau perlu memakai kaki palsu pada 2014.

“Terus terang saya katakan, takut dan saya tidak pernah keluar berdikari untuk guna kaki palsu di tempat orang. Alhamdulillah, akhirnya saya rasa mudah kerana ramai orang yang membantu dan ada Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU, yang menyediakan van serta kolej untuk pelajar-pelajar OKU,” katanya.

Mior Mohd Firdaus pernah menjawat jawatan setiausaha Persatuan Mahasiswa OKU UPM dan banyak terlibat dengan perbincangan bagi menambah baik perkhidmatan kepada pelajar OKU, sekali gus membela nasib golongan itu di universiti tersebut.

Selain graduan OKU, turut mencuri tumpuan pada Majlis Konvokesyen itu adalah graduan Bacelor Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem (Kepujian) Kelvin Niyok, yang menjadi individu dari etnik Penan pertama dari kampung Long Meraan Baram, yang berjaya mendapat segulung ijazah di universiti awam.

Kelvin, 25, berkata etnik Penan merupakan suku kaum minoriti di Sarawak yang agak ketinggalan dari segi pendidikan, namun kejayaan beliau hari ini menjadi kebanggaan serta pemangkin kepada anak-anak remaja di kampung halamannya.

“Saya masih ingat lagi kesusahan kita (anak-anak masyarakat Penan) untuk mendapatkan pendidikan, dan terpaksa menaiki pacuan empat roda selama lima jam mengikuti jalan balak untuk ke sekolah rendah.

“Paling tidak dapat dilupakan pernah sekali ada satu jambatan putus, kita tidak boleh menyeberang sungai berkenaan kerana air deras dan terpaksa bermalam di tepi jalan balak, dan keesokan harinya baru dapat meneruskan perjalanan ke sekolah,” katanya.

Menurutnya, beliau ingin membantu dan menyumbang ilmu pertanian kepada masyarakat Penan di kampungnya, memandangkan beliau mempunyai pendidikan dalam bidang itu selain bekerja sebagai ahli agronomi di Miri, Sarawak.

Antara tanaman yang boleh diusahakan di kampung beliau adalah sawit, padi dan getah, selain mencari hasil hutan dan dibawa ke luar untuk dijual.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1360
Kongsi :
Previous post Langkah kerajaan pantau pemilikan rumah, isu 144 atlet digugurkan antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini
Next post Lawatan PM ke Vietnam tingkat kerjasama hubungan diplomatik, ekonomi dan rakyat
Ubah saiz-+=