Langkah kerajaan pantau pemilikan rumah, isu 144 atlet digugurkan antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Langkah kerajaan memantau pemilikan dan penyewaan rumah selaras dengan kos sara hidup dan pendapatan rakyat dijangka menjadi antara tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, isu berkenaan akan diajukan Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan semasa sesi soal jawab.

William Leong Jee Keen (PH-Selayang) pula dijadual bertanyakan Menteri Belia dan Sukan mengenai perincian 144 atlet digugurkan oleh kerana potongan belanjawan dan keputusan untuk memotong elaun atlet.

Leong juga ingin tahu mengenai kriteria untuk mengenal pasti atlet yang berpotensi terbaik untuk memenangi pingat.

Turut tersenarai, soalan Sabri Azit (PAS-Jerai) kepada Menteri Kesihatan mengenai pendirian kerajaan terhadap kontrak doktor dan jururawat untuk memanjangkan kontrak tahunan dari dua tahun ke empat tahun dengan peningkatan kes COVID-19 yang dihadapi oleh negara.

Selain itu, pertanyaan berhubung jumlah kos yang dibayar kepada ejen pengambilan pekerja domestik Indonesia sebelum pandemik COVID-19 dan bilangan agensi terlibat dalam pengambilan pekerja migran dari Bangladesh akan diajukan P. Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) kepada Menteri Sumber Manusia.

Kasthuriraani juga ingin tahu mengenai langkah yang akan diambil kerajaan terhadap sindiket yang memonopoli, mengeksploitasi dan mengawal kemasukan pekerja migran ke Malaysia.

Selesai sesi tersebut, persidangan akan bersambung dengan pembentangan usul oleh Menteri Dalam Negeri mengenai lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 bagi tempoh lima tahun lagi, mulai dari 31 Julai 2022.

Turut dijangka menjadi tumpuan adalah sesi pembentangan untuk bacaan kali kedua bagi Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2022, Rang Undang-undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-undang Syarikat Labuan (Pindaan) 2022.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berakhir esok.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

891
Kongsi :
Previous post Polis rakam keterangan suspek pukul penunggang basikal di lampu isyarat
Next post Kekurangan diri tidak halang graduan OKU genggam ijazah di UPM
Ubah saiz-+=