Kembara Ramadan INSWA santuni penggiat seni, anak yatim

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 30 April – Kelab Kebajikan dan Sosial Institut Warisan Melaka (INSWA) telah menganjurkan program Kembara Ramadan bagi menyantuni anak yatim, asnaf dan penggiat seni di Melaka.

Program itu merupakan acara tahunan INSWA bagi meraikan penggiat seni negeri Melaka dan juga anak–anak yatim serta asnaf bagi menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma.

Pengurus Besar INSWA, Nurman Mohd Baroldin berkata, kembara itu telah berlangsung pada 22 April lalu meliputi tiga daerah di negeri ini.

Beliau memaklumkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bertujuan membantu para penggiat seni Melaka terutama mereka yang sudah tidak mampu mencari pendapatan lagi serta yang kehilangan mata pencarian selepas pandemik COVID-19 melanda.

Menurut beliau lagi, seramai 25 orang penggiat seni Melaka terdiri daripada ahli muzik dan penyanyi dondang sayang menerima bantuan kit makanan dan saguhati wang tunai daripada pihak INSWA.

“Selain itu, tiga buah rumah anak–anak yatim turut menerima bantuan dalam program ini.

“INSWA ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penaja yang telah sudi memberikan sumbangan dalam bentuk wang ringgit dan makanan untuk disumbangkan kepada para penggiat seni dan anak yatim serta asnaf di negeri Melaka.

“Antara syarikat yang telah menaja program ini ialah McDonald, Julie’s Manufacturing Sdn. Bhd, Syarikat Jalen Distributors Sdn. Bhd, Syarikat Faiza Sdn. Bhd, Syarikat Aik Cheong Sdn. Bhd, AI Teguh Enterprise, Bumi Hikmah Enterprise, Rezky Makmur dan lain-lain lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Nurman turut merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Menara Taming Sari, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Melaka serta Perbadanan Tanah dan Adat Negeri Melaka (PERTAM) yang turut menyalurkan sumbangan di dalam program berkenaan.

“Tidak lupa juga buat Datuk Muhammad Jailani Khamis (Pengerusi Lembaga Pengarah INSWA merangkap EXCO Warisan Negeri dan ADUN Rembia), yang turut sama memberikan sumbangan bagi menjayakan program ini,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1089
Kongsi :
Previous post Rumah Terbuka DUN Pantai Kundor pada 20 Mei
Next post Jualan Semarak Syawal Melaka sasar RM1.5 juta nilai jualan
Ubah saiz-+=