KKM kenal pasti empat kluster baharu, tiga lagi diisytihar tamat

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

PUTRAJAYA, 23 Nov – Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti empat kluster baharu manakala tiga kluster diisytiharkan tamat, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiga kluster yang tamat ialah Kluster Jambul, Kluster Surat dan Kluster Hampar.

Memperincikan kluster baharu itu, beliau berkata empat kluster tersebut melibatkan Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Johor dengan kluster pertama dikenali Kluster Bintang membabitkan pekerja di sebuah tapak pembinaan di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

‘’Kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif antara 17 Nov hingga hari ini melalui saringan bersasar yang dijalankan di kawasan berkenaan.

“Seramai 608 individu telah disaring dengan 95 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini, dan daripada jumlah itu, 94 merupakan bukan warganegara dan satu warganegara,’’ katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19, di sini hari ini.

Beliau berkata kluster kedua pula dikenali Kluster Indah Mas yang dikesan di daerah Titiwangsa dan Kepong di Kuala Lumpur serta Petaling, Selangor.

Katanya kes indeks (kes ke-53,452) dilaporkan positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada Sabtu lepas (21 Nov).

Beliau berkata setakat tengah hari ini, seramai 41 individu disaring dan daripada jumlah itu 10 dikesan positif COVID-19.

Kluster Teja Kasih iaitu kluster ketiga pula dikesan di daerah Kampar dan Kinta di Perak dengan kes indeks (kes ke-48,506) dilaporkan positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 16 Nov lepas, katanya.

“Hingga tengah hari ini, seramai 130 individu disaring dengan 41 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,’’ katanya.

Dr Noor Hisham berkata kluster terakhir dikenali sebagai Kluster Kobena dikesan di Johor Bahru, dan kes indeks (kes ke-52,599) yang merupakan kes ‘Severe Acute Respiratory Infections’ (SARI) itu dilaporkan positif pada Jumaat lepas.

Setakat 23 Nov (hari ini), seramai 111 individu disaring dengan 13 dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya, menambah dengan pertambahan empat kluster baharu menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau setakat ini sebanyak 168 kluster.- BERNAMA

Views:

719
Kongsi :
Previous post Perkembangan semasa banjir daerah Melaka Tengah setakat jam lapan malam
Next post Ditahan ambil dadah ketika jaga emak sakit
Ubah saiz-+=