KPDNHEP Negeri Sembilan keluar kompaun babit denda RM1.34 juta Jan-Okt

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

SEREMBAN 2 Nov – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan mengeluarkan kompaun RM209,000 membabitkan 458 kes dengan keseluruhan denda berjumlah RM1.34 juta sejak Januari hingga Oktober lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan berkata jumlah itu hasil pemeriksaan penguatkuasa KPDNHEP terhadap 38,633 premis di seluruh negeri.

“Ia membabitkan pelbagai kesalahan termasuk di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Perihal Dagang 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

“KPDNHEP negeri turut merampas pelbagai barangan dengan nilai rampasan sebanyak RM851,177 sepanjang tempoh tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2021 peringkat Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Beliau berkata sebanyak 814 aduan turut diterima bagi tempoh sama tahun ini dengan lima aduan tertinggi iaitu transaksi dalam talian berjumlah 371 diikuti perkhidmatan mengelirukan (131), harga (129), bengkel kenderaan bermotor (44) dan iklan mengelirukan (26).

Dalam pada itu, Veerapan berkata seramai 108 anggota penguatkuasa KPDNHEP akan digerakkan di seluruh negeri bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan harga barang sepanjang SHMMP Deepavali dikuatkuasakan terutama di lokasi tumpuan orang ramai.

Beliau turut menasihatkan pengguna untuk menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang melalui Portal e-aduan di https://eaduan.kpdnhep.gov.my dan talian di WhatsApp 019-2794317.

Pada 27 Okt lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyenaraikan 11 barangan sebagai harga terkawal bagi tempoh 1 hingga 7 Nov ini di bawah SHMMP Deepavali.

Beliau berkata 11 barangan tersebut ialah ayam hidup; ayam standard; ayam super; daging kambing biri-biri import bertulang; telur ayam gred A, B dan C; cili merah; tomato; kelapa biji dan kelapa parut yang merupakan barangan utama diperlukan semasa sambutan perayaan Deepavali.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

666
Kongsi :
Previous post Polis Perak lupus dadah bernilai lebih RM58 juta
Next post SMART ronda kawasan dijangka berlaku banjir besar
Ubah saiz-+=