SMART ronda kawasan dijangka berlaku banjir besar

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

PUTRAJAYA 2 Nov – Pasukan elit negara, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) akan ditugaskan membuat rondaan secara berkumpulan di kawasan yang dikenal pasti berlaku bencana banjir luar biasa ketika musim Monsun Timur Laut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata SMART dilengkapi dengan peralatan moden dan canggih, akan memberi tumpuan di kawasan Pantai Timur seperti Pahang dan Terengganu yang dijangka dilanda banjir besar.

“SMART akan buat rondaan dari semasa ke semasa.. kita ada peralatan lebih moden seperti trak besar yang boleh digunakan untuk meredah kawasan banjir dan mengangkut mangsa.

“Tahun ini (banjir) dikatakan akan ikut seperti tahun lepas dan jangkaan mungkin akan besar juga,” katanya pada majlis penutupan Kursus Khas SMART Siri 1/2021 di Markas SMART, Pulau Meranti dekat sini hari ini.

ABD Latiff Ahmad pada majlis penutupan Kursus Khas SMART Siri 1/2021 di Markas SMART, Pulau Meranti dekat sini hari ini. Kredit foto – FB rasmi SMART

Monsun Timur Laut adalah musim hujan utama di Malaysia.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam, hujan lebat diramalkan berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor mulai Nov ini hingga awal Jan 2022 susulan peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula 3 Nov dan berterusan hingga Mac tahun depan.

Abd Latiff berkata antara lokasi diramalkan banjir termasuklah Maran dan Kuala Lipis di Pahang serta Kemaman, Terengganu, manakala banjir besar juga dijangka berlaku di Sabah dan Sarawak pada awal tahun hadapan.

Abd Latiff berkata kerajaan pusat akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam menghadapi dan mengendalikan bencana banjir.

“Mereka (kerajaan negeri) ini tahu di mana yang mungkin berlaku banjir sebab benda ni adalah sesuatu yang berlaku setiap tahun, cuma masanya kita kena peka,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

600
Kongsi :
Previous post KPDNHEP Negeri Sembilan keluar kompaun babit denda RM1.34 juta Jan-Okt
Next post Tarikh tutup syarikat MM2H mohon bantuan PEMULIH pada 10 Nov
Ubah saiz-+=