Tarikh tutup syarikat MM2H mohon bantuan PEMULIH pada 10 Nov

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

PUTRAJAYA 2 Nov – Tarikh tutup untuk syarikat program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) berlesen mengemukakan permohonan untuk bantuan kewangan berjumlah RM3,000 sekali beri di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), adalah pada 10 Nov ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri pada 19 Okt lepas mengumumkan, kerajaan bersetuju untuk memperluaskan bantuan kewangan PEMULIH kepada syarikat MM2H yang mempunyai lesen pelancongan dalam negeri di bawah MOTAC.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan hari ini berkata maklumat mengenai kelayakan inisiatif PEMULIH bagi syarikat MM2H, boleh diperolehi melalui laman sesawang rasmi MOTAC http://motac.gov.my/pemulihmotac2021_mm2h atau menghubungi Pejabat MOTAC negeri berdekatan.

MOTAC berkata perluasan bantuan kewangan di bawah PEMULIH itu dibuat setelah mengambil kira syarikat MM2H turut terjejas semasa pandemik COVID-19.

“Bantuan kewangan ini sebagai pendorong atau ‘kick-start’ kepada syarikat MM2H yang terkesan dengan pandemik COVID-19,” kata MOTAC.

MOTAC berkata bantuan kewangan di bawah PEMULIH itu adalah bantuan kedua untuk syarikat MM2H selepas bantuan kewangan RM3,000 diberikan kepada yang layak melalui inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi (PEMERKASA).

Sehubungan itu, MOTAC menyeru syarikat MM2H berlesen yang tidak menerima bantuan kewangan di bawah inisiatif PEMERKASA, untuk mengambil peluang mengemukakan permohonan kepada pihak kementerian.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

556
Kongsi :
Previous post SMART ronda kawasan dijangka berlaku banjir besar
Next post Mahasiswa UTeM juara permainan keselamatan siber
Ubah saiz-+=