Mahasiswa UTeM juara permainan keselamatan siber

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

DURIAN TUNGGAL 2 Nov – Enam mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dinobatkan juara Pertandingan Antarabangsa Kaspersky Interactive Protection Simulation (KIPS), baru-baru ini.

KIPS merupakan permainan keselamatan siber yang menjadi tarikan pemain seluruh dunia terdiri daripada pengurus atasan organisasi, ahli pakar, pelajar serta diplomat.

Dekan Fakulti Teknologi Maklumat & Komunikasi (FTMK), Prof Dr Rabiah Ahmad berkata, kejayaan enam mahasiswa yang dikenali sebagai kumpulan MH4/2 itu sekali gus menyerlahkan kreativiti dan kepakaran pelajar UTeM di peringkat global.

“Kemenangan ini melayakan mereka membawa pulang wang tunai sebanyak USD3,000 (RM12,443.70) dan setiap ahli turut menerima lesen latihan di Kaspersky Online Cybersecurity Training Platform.

“Pelajar terlibat adalah Kwong Tung Nan, Liew Kok Foo, Mervyn Lim, Lim Zi Feng, Tan Wen Xiang yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepintaran Buatan) dan Heng Fuyen, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Teknologi Permainan),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, ketua pasukan UTeM Kwong Tung Nan berkata, pada peringkat pertama pemain mengambil peranan pakar teknologi maklumat (IT) di sebuah lapangan terbang yang terjejas iaitu eksploitasi shellshock, perisian tebusan (ransomware), Advanced Persistent Threat (APT) dan kecurian wang oleh pekerja dalaman.

“Di peringkat kedua pula, pemain mengambil peranan sebagai diplomat sebuah negara yang ditugaskan untuk mengambil tindakan bagi situasi Distributed Denial of Service, APT, hacktivis dan perisian tebusan.

“Seterusnya peringkat akhir pemain mengambil peranan pakar IT di loji kuasa yang disasar pelbagai serangan tajaan negeri yang khusus terhadap loji kuasa dan PLC yang digunanya, peringkat ini serupa dengan serangan ‘stuxnet’ yang dijalankan beberapa tahun lalu,”katanya.

Hasil kejayaan itu memberikan manfaat besar bukan sahaja buat pelajar, malah UTeM mendapat tempat bagi pelajar-pelajar tertentu untuk menyertai latihan ‘Cybersecurity for IT Online’ secara percuma.

Pertandingan ini disertai lebih 30 pasukan seluruh dunia dan mengambil masa selama tiga minggu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

984
Kongsi :
Previous post Tarikh tutup syarikat MM2H mohon bantuan PEMULIH pada 10 Nov
Next post Tolak Bersatu, rakyat nilai sendiri – Rafiq
Ubah saiz-+=