Larangan rentas daerah di Melaka kekal

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 23 Feb. – Permohonan Kerajaan Negeri Melaka untuk membenarkan aktiviti rentas daerah di negeri ini sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) 2.0, tidak mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, pihaknya sudah mengemukakan permohonan untuk kelonggaran syarat berkenaan memandangkan Melaka sebuah negeri yang kecil, namun pihaknya akur apabila MKN tidak memberi kebenaran itu.

“Saya sudah mohon (kebenaran rentas daerah) kerana saya mahu menggalakkan kehadiran pelancong dalam negeri dan meningkatkan semula sektor pelancongan negeri ini, namun MKN masih tidak benarkan.

“Jadi, tanpa kebenaran kita tidak boleh buat apa dan kita perlu tunggulah sehingga ia dibenarkan,” katanya ketika ditemui dalam lawatan ke tapak tanaman cili di Bandar Hijau, di sini, hari ini.

Pada Jumaat lalu Kerajaan Negeri Melaka mengemukakan permohonan rasmi untuk kebenaran aktiviti rentas daerah dalam negeri ini bagi memulihkan semula ekonominya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, permohonan itu atas pertimbangan Melaka sebuah negeri kecil dengan tiga daerah dan berdepan kesukaran untuk memulihkan ekonominya jika hanya bergantung kepada penduduk di setiap daerah.

Katanya, permintaan itu juga selari dengan tahap kepatuhan tinggi yang ditunjukkan rakyat Melaka sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan tahun lalu apabila menduduki tangga ketiga kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tertinggi dengan 98 peratus.

 

#jailani #rentasdaerah #PKPB

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

476
Kongsi :
Previous post Sajjad kena waran tangkap, gagal hadir sebutan kes di Mahkamah Syariah
Next post Bekalan air Melaka mampu bertahan sehingga September
Ubah saiz-+=