Melaka jangka 109,510 rakyat terima vaksin COVID-19 Jun ini – Rahmad

Masa Membaca:2 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 24 Mei – Seramai 13,705 rakyat Melaka telah menerima dos satu suntikan vaksin daripada seramai 113,017 individu yang mendaftar vaksin bagi fasa 2 setakat 22 Mei lalu.

Suntikan dos kedua bagi fasa 2 pula telah bermula pada 10 Mei lalu dan seramai 6,368 individu telah lengkap dos tersebut setakat 22 Mei.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, prestasi penerimaan vaksin rendah disebabkan bilangan dos vaksin yang rendah yang diterima dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya sehingga 19 Mei lalu Melaka hanya menerima sebanyak 84,380 dos vaksin.

“Daripada jumlah itu sebanyak 46,042 telah digunakan untuk petugas barisan hadapan pada fasa satu.

“Daripada baki 38,338 dos, sebanyak 20,073 dos digunakan bagi fasa 2 dan bakinya sebanyak 18,265 akan diberi untuk penerima yang dijadualkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rahmad berkata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) telah memohon tambahan vaksin mengikut kapasiti sebenar PPV sedia ada dan termasuk PPV baru yang akan dibuka.

“Dengan penambahan PPV ini dijangkakan seramai 109,510 rakyat Melaka akan menerima vaksin.

“Ini bermakna 97 peratus daripada mereka yang layak bagi fasa 2 dan telah mendaftar dalam MySejahtera akan menerima vaksin mereka menjelang 30 Jun depan,” katanya.

Menurut Rahmad, bermula hari ini sebanyak tiga lagi PPV awam akan beroperasi iaitu Dewan Hang Tuah, Dewan CREATE Simpang Ampat dan Dewan Hj Ahmad Ithnin, Merlimau.

“Manakala empat lagi PPV Awam iaitu Dewan CTRM Batu Berendam, Dewan MMU, Dewan MPHTJ Bukit Beruang dan Dewan UITM Alor Gajah akan dibuka pada 15 Jun depan.

“Selain daripada pemberian vaksin di tiga Pusat Pemberian Vaksin Khas atau Special PPV (SPPV)  hospital dan 10 PPV awam di atas, penglibatan klinik swasta di Melaka dalam pemberian vaksin fasa dua akan bermula pada 1 Jun,” katanya.

Ujarnya, sebanyak 12 klinik swasta telah bersedia sebagai PPVGP untuk pemberian vaksin fasa 2 iaitu 10 klinik swasta di daerah Melaka Tengah dan dua klinik swasta di daerah Alor Gajah.

“Bagi memastikan warga emas di pusat-pusat jagaan tidak terpinggir, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri bekerjasama untuk menjalankan aktiviti pemberian vaksin kepada warga emas di pusat-pusat jagaan dan institusi warga emas secara ‘outreach’ bermula 24 hingga 28 Mei ini.

“Kita juga akan memastikan masyarakat di pedalaman seperti Orang Asli diberikan penerangan berkaitan program imunisasi bagi memastikan mereka menerima maklumat yang betul, tepat dan tidak ketinggalan dalam program imunisasi ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata dari segi kadar pendaftaran vaksin fasa dua dan tiga melalui aplikasi MySejahtera, sebanyak 47.4 peratus (332,096) rakyat Melaka daripada 701,000 orang telah mendaftar setakat 22 Mei.

“Bagi pendaftaran vaksin untuk mereka yang memenuhi kriteria fasa 2 (pesakit kronik, warga emas dan OKU), seramai 117,017 orang daripada 250,000 sasaran telah mendaftar iaitu 45.2 peratus,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

411
Kongsi :
Previous post Melaka catat kes kematian tertinggi hari ini
Next post UTeM hulur bantuan kepada mangsa banjir di Melaka
Ubah saiz-+=