Sorting by

×

MHI kongsi pendidikan bermutu menerusi sisipan Didik Smart A+

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

LENDU 12 Feb – Sisipan Didik Smart A+ antara inisiatif dijalankan akhbar Melaka Hari Ini (MHI) dalam membantu meningkatkan lagi mutu pendidikan pelajar sekolah khusus calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid berkata, inisiatif itu dianggap salah satu tanggungjawab MHI selain peranan hakiki sebagai agensi media rasmi kerajaan negeri.

Beliau berkata, sisipan Smart A+ dalam akhbar mingguan MHI menyediakan teknik menjawab dan rangkuman soalan SPM sekali gus memberi peluang kepada calon peperiksaan melaksanakan latih tubi dan pecutan akhir.

“Program korporat tanggungjawab sosial (CSR) MHI ini dilaksanakan sejak tahun lalu menerusi kerjasama Kelab Ibu Bapa Guru Islam Melaka (KIBGIM) dengan memberi fokus kepada empat subjek seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.

“Pendidikan penting dan kita tidak boleh abaikan, jadi MHI mahu terbabit secara langsung dengan menyediakan akses kepada pembelajaran dan pengajaran bermutu,” katanya.

Terdahulu beliau hadir pada Program Penyerahan Buku Didik Smart A+ Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu diadakan di Kompleks Japerun Lendu, hari ini.

Program penyerahan itu disempurnakan Ketua Menteri yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Abdul Jalil berkata, kompilasi buku soalan itu adalah himpunan sisipan Didik Smart A+ akhbar MHI sepanjang tahun lalu.

Katanya penganjuran kali kedua itu akan diperluaskan ke semua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dan akan ditambah baik selepas ini bagi memastikan pelajar menerima set lebih awal sebelum peperiksaan.

“Mungkin tahun depan sekiranya peruntukan memberangsangkan kita akan terbitkan empat buku berbanding sekarang hanya satu. Serahan kepada calon-calon SPM di sekolah masing-masing akan dilakukan lebih awal.

“Kalau lebih banyak permintaan mungkin, tajaan atau ibu bapa yang ingin membeli kita mencadang akan menjual buku-buku ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

943
Kongsi :
Previous post Kerajaan pantau 92 projek ‘sakit’ seluruh negara – Mustapa
Next post Chap Goh Mei: Hanya bunga api ‘Happy Boom’, mercun ‘pop-pop’ dibenarkan – polis
Ubah saiz-+=