MTUC minta pihak berkuasa siasat dakwaan agensi pelancongan gagal bayar gaji pekerja sejak Mac

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KUALA LUMPUR 22 Jun – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta pihak berkuasa menyiasat sebuah syarikat agensi pelancongan yang didakwa tidak membayar gaji pekerja, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lepas.

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon berkata syarikat itu juga didapati gagal membuat bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedangkan caruman dipotong daripada gaji pekerja setiap bulan.

“Syarikat ini mula tidak membayar gaji pekerja ketika PKP kerana menganggap mereka tidak perlu membayar gaji kepada pekerja yang tidak bekerja dan apabila ada pekerja mahu mendapatkan pampasan daripada Perkeso, mereka dapati majikan tidak mencarum untuk mereka.

“Jadi pekerja telah membuat laporan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan apabila pihak syarikat dapat tahu, majikan pula mengugut mendedahkan maklumat peribadi pekerja kepada pihak berkuasa sekiranya mereka tidak menarik balik laporan itu,” katanya selepas membuat laporan polis berkenaan isu itu di Balai Polis Travers, hari ini.

Bekas pekerja, K. Krisnaveni, 35, yang bekerja sejak 2018 berkata, majikannya hanya membayar gaji penuh sehingga Februari 2020, dan pada Mac lepas, beliau hanya menerima RM400 sahaja dan dimaklumkan lebihan gaji akan dibayar pada 7 April 2020.

“Bagaimanapun sehingga hari ini saya tidak menerima lebihan gaji itu dan apabila ditanya kepada majikan, mereka hanya menjawab telah menamatkan perkhidmatan saya tanpa sebarang pemakluman rasmi daripada surat,” katanya.

Bekas pemandu, M. Annadass, 49, pula mendakwa majikan menggugutnya menyimpan kenderaan syarikat di kediamannya sedangkan beliau diarahkan berbuat demikian kerana pelaksanaan PKP dan tidak dibenarkan meletak kenderaan itu di hotel.

“Selama saya menyimpan kenderaan itu saya tidak pernah menggunakannya untuk kegunaan sendiri kerana amanah, tambahan pula cukai jalan telah tamat tempoh dan sehingga hari ini tiada maklum balas syarikat bila saya perlu menghantar kembali kenderaan ini,” tambahnya.

– BERNAMA

Views:

622
Kongsi :
Previous post Jakim terus pantau kiriman menghina Islam dan Nabi Muhammad
Next post Seorang tahanan lokap Balai Polis Banda Hilir positif Covid-19
Ubah saiz-+=