Nasib ibu tunggal enam anak dapat pembelaan

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KOTA LAKSAMANA 28 Julai – Kisah seorang ibu tunggal bersama enam anaknya yang tinggal di dalam bilik kecil di tepi Sungai Kampung Jawa telah mendapat pembelaan sewajarnya.

Ia apabila nasib tujuh beranak berkenaan sampai ke pengetahuan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Datuk Latipah Omar.

Beliau yang datang menyantuni keluarga itu hari ini berkata, keluarga berkenaan akan dipindahkan ke rumah yang lebih selesa di bawah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Latipah berkata, melihat kepada kesempitan hidup keluarga itu, beliau akan menggerakkan pelbagai agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memberikan bantuan segera RM300 selain akan mengatur bantuan bulanan yang bersesuaian.

“Kita prihatin dengan keadaan keluarga ini yang daif dan tinggal dalam sebuah bilik kecil 10×10 kaki persegi dengan enam kanak-kanak termasuk bayi.

“Jadi saya telah membuat keputusan mereka perlu berpindah dari kawasan ini yang bukan sahaja persekitaran yang tidak sihat, malah aspek keselamatan kerana berdekatan sungai,” katanya

Menurutnya lagi, dalam lawatan yang disertai Jabatan Pendidikan Melaka, Jabatan Pendaftaran Melaka (JPN) dan MAIM itu, pihaknya akan berusaha memastikan kesemua anak-anak ibu tunggal ini memiliki surat beranak termasuk bayinya yang baru berusia 25 hari.

Pada masa sama, beliau turut berharap ibu tunggal berusia 27 tahun itu mempunyai semangat untuk mengubah nasib keluarga dan tidak terus membiarkan anak-anaknya tinggal dalam keadaan yang serba daif.

Ujarnya, kesedaran wanita itu penting supaya tidak lagi berlaku anak tidak sah taraf yang dilahirkan dan mampu berdikari untuk menjaga anak-anak yang masih kecil.

“Sebab itu saya nasihatkan mereka dipindahkan dan dia boleh mencari pekerjaan yang lebih sesuai untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Kita kasihan anak-anak ini dan kerana itu kita juga bercadang untuk menempatkan anak-anak yang sepatutnya bersekolah termasuk anak sulungnya berusia 12 tahun ditempatkan ke rumah kebajikan agar mereka mendapat pendidikan,” katanya yang turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan kisah ibu tunggal bersama enam anak yang bakal kehilangan tempat tinggal apabila bilik kecil yang disewanya dengan bayaran RM80 sebulan bakal dirobohkan untuk tujuan baik pulih.

Views:

281
Kongsi :
Previous post Premis kerajaan dan swasta perlu kibar Jalur Gemilang
Next post MBMB fokus keindahan kawasan tumpuan pelancong
Ubah saiz-+=