Pasangan suami isteri dari Serkam johan Tilawah Al-Quran Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 34 Saat

BANDARAYA MELAKA 4 Apr. – Pasangan suami isteri dinobat qari dan qariah terbaik Melaka 2021 selepas menjuarai Majlis Tilawah Al-Quran peringkat negeri berlangsung di Auditorium Masjid Al-Azim, di sini, malam tadi.

Azraie Abdul Hak, 41, dan Sarrul-Munirah Haris, 37, dari Serkam, masing-masing mengutip 89.5 peratus dan 86.5 peratus markah sekali gus menewaskan 15 finalis yang lain.

Ia kejuaraan keempat diraih pasangan berkenaan sejak menyertai kejohanan itu pada 2003 dan sekali lagi bakal mewakili negeri untuk bertanding di peringkat kebangsaan pada Jun depan.

TUN Mohd Ali menyampaikan hadiah Azraie yang muncul johan qari Majlis Tilawah Al-Quran peringkat negeri Melaka 2021 sambil diperhatikan Sulaiman.

Azraie yang ditemui Melaka Hari Ini selepas majlis penyampaian hadiah, memanjatkan kesyukuran di atas kejayaan berkenaan memandangkan dia mempunyai misi tersendiri untuk muncul johan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan pada tahun ini.

“Sudah banyak kali saya mewakili Melaka di peringkat kebangsaan, namun tiga kali daripadanya iaitu 2008, 2017 dan 2018 saya muncul sebagai naib johan.

“Jadi kali ini misi saya adalah untuk menjadi johan,” katanya yang pernah muncul johan Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa di Kuwait pada 2018.

Pasangan terbabit yang juga guru Sekolah Kebangsaan Bukit Beruang dan Pegawai Kader JAKIM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka itu juga menyifatkan kejayaan tahun ini lebih manis kerana ia dapat disaksikan enam anak yang kini mula mengikut jejak mereka apabila empat daripadanya pernah menjadi johan kebangsaan peringkat sekolah.

TUN Mohd Ali menyampaikan hadiah kepada Sarrul-Munirah selaku Johan qariah Majlis Tilawah Al-Quran peringkat negeri Melaka 2021,

Selaku johan, kedua-duanya membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000 berserta trofi.

Sementara itu, bagi kategori menghafaz al-Quran pula, johan menjadi milik Naaim Zakaria dan Ummu Habibah Tuah bagi kategori Juzuk 1-30.

Johan kategori Juzuk 1-10 dan Juzuk 1-20 pula masing-masing menjadi milik Muhammad Amnan Muhammad Sani dan Siti Nabilah Zamri serta Ahmad Hambali Abdul Kadir dan Dina Hadfina Mohd Umarul Hisyam.

Hadiah kepada semua pemenang telah disampaikan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam dan disaksikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Hasim Hasan, Mufti Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Md Rawi Mahmud, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat dan lain-lain kenamaan.

Untuk rekod, pada tahun ini seramai 60 qari dan qariah seluruh negeri telah menyertai Majlis Tilawah Al-Quran yang mana 12 qari dan lima qariah terpilih ke peringkat akhir yang berlangsung pada Khamis dan Jumaat lalu.

Manakala, Majlis Menghafaz Al-Quran yang terbahagi kepada tiga kategori (1-10 juzuk, 1-20 juzuk, 1-30 juzuk) pula menerima 95 penyertaan dari seluruh negeri membabitkan peserta berumur tujuh hingga 25 tahun.

Daripada jumlah itu 11 peserta lelaki dan sembilan peserta perempuan dipilih ke peringkat akhir berdasarkan jumlah markah tertinggi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6415
Kongsi :
Previous post Harga tiket masuk Stadium Hang Jebat kekal RM15
Next post Tun Mohd Ali rasmi penutup Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Melaka
Ubah saiz-+=