PKPP: PDRM rangka penugasan baharu – KPN

Masa Membaca:58 Saat

KUALA LUMPUR 7 Jun — Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menetapkan bentuk penugasan baharu, susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang berakhir Selasa ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya sedang memperhalusi butiran berhubung pengumuman PKPP tersebut.

“Menjelang 9 Jun nanti, kami akan dapat menetapkan bentuk penugasan baharu,” katanya kepada Bernama disini, hari ini.

Beliau berkata, penugasan baharu ini juga termasuk kawalan trafik memandangkan orang ramai akan mengambil kesempatan ini untuk balik ke kampung.

Selain itu, ditanya sama ada sekatan jalan raya (SJR) akan diteruskan, beliau berkata ia sudah tidak ada keperluan.

“Buat saat ini, SJR untuk PKPP ini jelas sudah tidak ada keperluannya lagi, kecuali di lokasi-lokasi Op Benteng Covid19. Saya akan berbincang terlebih dahulu dengan Panglima Angkatan Tentera untuk mendapatkan kefahaman dan persetujuan bersama.

“Mungkin penugasan pemantauan akan ditambah bagi memastikan kepatuhan kepada jarakan sosial,” katanya.

Abdul Hamid berkata, semangat ingin merayakan sambutan Aidilfitri masih berkobar-kobar dalam kalangan masyarakat dapat dijangkakan, namun mengingatkan bahawa kemenangan melawan COVID-19 ini belum berakhir.

Antara inti pati PKPP adalah perjalanan rentas negeri dibenarkan kecuali di kawasan PKPD.

— BERNAMA

Views:

481
Kongsi :
Previous post PKPP: Sambutan Aidiladha, ibadah korban dibenarkan – PM Muhyiddin
Next post Malaysia succeeds in containing COVID-19, thanks to efforts of all – Muhyiddin
Ubah saiz-+=