PKPP: Sambutan Aidiladha, ibadah korban dibenarkan – PM Muhyiddin

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

KUALA LUMPUR 7 Jun — Jika Hari Raya Aidilfitri sebelum ini terpaksa disambut berjauhan daripada keluarga susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), perkara sebaliknya akan berlaku pada sambutan Aidiladha yang dijangka 31 Julai ini apabila umat Islam di negara ini dibenar meraikannya bersama keluarga di kampung.

Ketika mengumumkan berita gembira itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagaimanapun sambutan Aidiladha dan ibadah korban masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Dalam kategori perayaan dan aktiviti keagamaan, saya nak sampaikan berita baik. Sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban akan dibenarkan (tetapi) tertakluk kepada SOP pihak berkuasa agama Islam,” katanya.

Muhyiddin berkata demikan menerusi perutusan khas pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi menggantikan PKPB yang akan berakhir Selasa ini, yang disiarkan di saluran televisyen tempatan hari ini.

PKPP yang bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos menyaksikan lebih banyak kelonggaran diberikan termasuk perjalanan rentas negeri kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan dan ekonomi dibuka.

Perdana menteri berkata walaupun banyak kelonggaran diumumkan, beberapa aktiviti masih dilarang antaranya perarakan keagamaan dalam jumlah yang ramai, kenduri-kendara dan rumah terbuka.

Muhyiddin berkata kelonggaran bagi solat berjemaah dan aktiviti keagamaan di masjid dan rumah-rumah ibadat pula sedang diteliti.

“Kelonggaran untuk membenarkan lebih ramai jemaah hadir mengikut keluasan ruang masjid atau rumah ibadat sedang diperhalusi oleh kerajaan dan akan diumumkan sedikit masa lagi,” katanya.

— BERNAMA

Views:

323
Kongsi :
Previous post Recovery Movement Control Order (RMCO) begins June 10 – PM Muhyiddin
Next post PKPP: PDRM rangka penugasan baharu – KPN
Ubah saiz-+=